Saturday 28 April 2012

Hakikat Hamba


Hakikat seorang hamba itu,
memang begitu.
Saat dia gembira, tiada apa yang dapat merisaukannya.
Saat dia jatuh, dia tahu pada siapa patut berharap.
Hakikat seorang hamba itu,
Sujud hajatnya lebih panjang dari sujud taubatnya.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Suka memandang pada yang zahir.
Jangan disangka hamba yang hidupnya penuh maksiat,
Darjatnya lebih rendah dari hamba yang taat.
Maksiat yang melahirkan rasa taubat kepada Allah,
Lebih baik dari taat yang melahirkan rasa megah dan takabbur.
Urusan Tuhan tak siapa tahu.
Kerana Dia mengetahui setiap yang ada dalam jantung hati manusia.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Tidak pernah bersyukur dengan setiap peluang yang diberi.
Terus menerus mensia-siakan sisa-sisa usia yang tinggal.
Bekerja keras membaja cinta dunia lebih dari cinta akhirat.
Sedang pintu taubat itu dibuka seluas-luasnya,
Hamba itu masih lalai dan alpa.
Sedang jalan menuju Tuhan dihamparkan di hadapan mata,
Hamba itu masih mengelak dan berlengah.
Dengan sangkaan peluang itu akan sentiasa ada untuknya.
Dengan sangkaan hidayah itu belum diberi.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Lupa pada kasih sayang Tuannya yang tiada bandingan.
Lupa pada keampunan Tuannya yang seluas langit dan bumi.
Sedang keampunan dibuka pada siang hari untuk hambanya yang berdosa pada malam hari.
dan dibuka pada malam hari untuk hambanya yang berdosa pada siang hari.
Sungguh, tiada halangan untuk hamba berhubung dengan Tuannya.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Jarang sekali bersikap adil pada Tuannya.
Apatah lagi mahu menghargai kasih sayang Tuannya.
Nikmat apa lagi yang kamu dambakan wahai hamba?
Adakah kamu lupa siapa kamu yang sebenar?

Hamba,
Bukalah mata.
Bukalah hati.

Di mana lagi mahu dicari hamba yang diberi penghormatan, diberi kesenangan, diberi kenikmatan dan diberi kasih sayang sehebat ini?
Kehebatan ini hanya ada pada hamba Allah, Tuhan yang Maha Pengasih.

Hamba,
Lahirkan kesyukuran pada Dia.
Kembalilah pada Dia.

Dunia ini hanyalah sementara jika kamu menyedari.

"Hai orang-orang beriman, mahukan Aku tunjukkan kepadamu suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampuni dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat inggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung. Dan (ada lagi) karunia yang kamu cintai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin." 61:10-13
(Kredit)

No comments:

Post a Comment