Saturday 28 April 2012

Hakikat Hamba


Hakikat seorang hamba itu,
memang begitu.
Saat dia gembira, tiada apa yang dapat merisaukannya.
Saat dia jatuh, dia tahu pada siapa patut berharap.
Hakikat seorang hamba itu,
Sujud hajatnya lebih panjang dari sujud taubatnya.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Suka memandang pada yang zahir.
Jangan disangka hamba yang hidupnya penuh maksiat,
Darjatnya lebih rendah dari hamba yang taat.
Maksiat yang melahirkan rasa taubat kepada Allah,
Lebih baik dari taat yang melahirkan rasa megah dan takabbur.
Urusan Tuhan tak siapa tahu.
Kerana Dia mengetahui setiap yang ada dalam jantung hati manusia.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Tidak pernah bersyukur dengan setiap peluang yang diberi.
Terus menerus mensia-siakan sisa-sisa usia yang tinggal.
Bekerja keras membaja cinta dunia lebih dari cinta akhirat.
Sedang pintu taubat itu dibuka seluas-luasnya,
Hamba itu masih lalai dan alpa.
Sedang jalan menuju Tuhan dihamparkan di hadapan mata,
Hamba itu masih mengelak dan berlengah.
Dengan sangkaan peluang itu akan sentiasa ada untuknya.
Dengan sangkaan hidayah itu belum diberi.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Lupa pada kasih sayang Tuannya yang tiada bandingan.
Lupa pada keampunan Tuannya yang seluas langit dan bumi.
Sedang keampunan dibuka pada siang hari untuk hambanya yang berdosa pada malam hari.
dan dibuka pada malam hari untuk hambanya yang berdosa pada siang hari.
Sungguh, tiada halangan untuk hamba berhubung dengan Tuannya.

Hakikat seorang hamba itu,
Memang begitu.
Jarang sekali bersikap adil pada Tuannya.
Apatah lagi mahu menghargai kasih sayang Tuannya.
Nikmat apa lagi yang kamu dambakan wahai hamba?
Adakah kamu lupa siapa kamu yang sebenar?

Hamba,
Bukalah mata.
Bukalah hati.

Di mana lagi mahu dicari hamba yang diberi penghormatan, diberi kesenangan, diberi kenikmatan dan diberi kasih sayang sehebat ini?
Kehebatan ini hanya ada pada hamba Allah, Tuhan yang Maha Pengasih.

Hamba,
Lahirkan kesyukuran pada Dia.
Kembalilah pada Dia.

Dunia ini hanyalah sementara jika kamu menyedari.

"Hai orang-orang beriman, mahukan Aku tunjukkan kepadamu suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampuni dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat inggal yang baik di dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang agung. Dan (ada lagi) karunia yang kamu cintai (iaitu) pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin." 61:10-13
(Kredit)

Tuesday 24 April 2012

Hilang

Hilang.
Benar,
Ia sakit.
Ia perit.


Tapi kehilangan itu, membersihkan. Menyucikan.
Tiada kehilangan yang seindah itu.

Walau hati meraung sakit,
walau hati menangis pilu,
Biarkan ia hilang.
Biarkan ia pergi.

Mohon kekuatan untuk melepaskan ia hilang.
seperti kisah awan dan hujan yang redha dalam melepaskan.


Meski hilang sahabat yang tak bisa memahami erti sebuah perjuangan,
Dia hadiahkan mereka yang lebih mewarnai rasa sebuah kehidupan.
Mereka yang memaknai sebuah amanah.

Allahu Allah.
Terima kasih atas nikmat ini.

"Jika Allah mengetahui ada kebaikan dalam hatimu, nescaya Dia akan memberikan yang lebih baik dari apa yang diambil darimu dan Dia akan mengampunimu." 8:30

Menanti mereka yang hilang, memilih untuk turut serta mewarnai kehidupan ini. Biiznillah.
Cukuplah segala tangisan buat yang hilang. Moga ada percaturan yang lebih baik.


BIAR DUNIA DI TANGAN, BUKAN DI HATI UNTUK DICINTAI.



Bingkisan Buat Teman.

Dengan Bismillah ku bermula
Bingkisan hati buatmu teman yang dikasihi
kita bersama dalam satu ikatan
bermula episod hidup di dunia ini

Ku harap hanyalah di dunia 
dirahmat dan diredhai
selamat sejahtera di syurgawi

Oh Tuhan satukanlah
hati kami dalam mencintai
redha atas ujian diberi
Jauhkanlah kami
dari rakus mengejar duniawi
hidup mati biarlah untukMu
Harap Dunia hanya di tangan
Bukannya di hati tuk dicintai

Kita dicipta sebagai khalifah
bersama kita hidup untuknya
kita dicipta di dunia fana
ada amanah yang tersedia

Oh Tuhan
Kita laksana bersama
amanah dariNya
demi memburu cinta dan harapan

Tuhan itu harus diutama
dari segala kepentingan dunia
Bergandingan kita
untuk memburu cintaNya
Oh cintaNya

Tuhan 
Kau satukanlah hati-hati
memohon kasihMu oh Tuhan
dalam mengharap redha dariMu

Hanya di dunia
kita harapkan, kita dambakan
Selamat sejahtera, bahagia




Tinggalkan harapan. Teruskan perjuangan.

Sunday 22 April 2012

Allahu Rabbi

Istikharah semalam terjawab hari ini.


"CUT THE ROPE OF DUNYA"

Saturday 21 April 2012

Jatuh

Mengapa masih mengharap rasa manusia, sedang hati mengatakan Dia adalah segala-galanya.
Hatimu belum YAKIN.

Kekadang amal tak selari dengan pengakuan.
Sukar sekali untuk berlapang dada.

Wahai diri,
Usah jadi fitnah pada agama.



* Kepada yang terlibat, maaf.

Thursday 19 April 2012

Rindu


Sungguh, aku benar-benar rindu.
Rindu pada segalanya.
Rindu pada kehidupan.
Rindu pada manusia.
Rindu pada rasa cinta.
Rindu pada rasa sayang.
Rindu pada rasa ketenangan.
Rindu pada rasa kedamaian.
Rindu pada rasa rendah diri.
Rindu pada rasa seorang hamba.
Rindu pada rasa yang membersihkan.
Rindu pada rasa yang menyucikan.

Rindu pada Dia yang mengatur segalanya.


Saat aku menyelak helaian kenangan lalu,
Air mata tumpah lagi.
Allahu rabbi.
Aku rindu.


Saturday 14 April 2012

Hawariyyun


“Cinta Dia urusan kita, cinta manusia urusan Dia.”

Benarlah kata-kata ini.
Andai cinta Dia yang dikejar, usah dibimbangkan pada yang lain.
pasti Dia uruskan dengan sesempurnanya.
Kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Pada saat seluruh jiwa dan raga diserahkan pada Dia,
diabdikan hanya atas jalan Dia,
tiada apa lagi yang dapat diharapkan melainkan redhaNya.
Apa lagi yang lebih bermakna dari kasih dan cinta dari Dia yang menciptakan?
Apa lagi yang membahagiakan daripada janji Dia yang pasti di syurga nanti?
Subhanallah. Maha Suci Allah.

Suatu ketika dahulu,
pada saat kaki mula melangkah bertatih atas jalan dakwah dan tarbiyah,
aku sering bertanya-tanya.
Ragu-ragu andai jalan ini yang dipilih,
Terlalu banyak yang perlu dikorbankan.
Hati, perasaan, cinta, masa, wang dan tenaga.

Hakikatnya,
Pada saat aku merasakan hidup dalam tarbiyah,
Aku belajar untuk mengenali  dan memahami.
Bahawa tarbiyah itulah kehidupan.
Tarbiyah itu adalah perasaan.
Keperluan yang menyucikan segala kekotoran hidup insani.
Nikmat yang tak bisa diungkapkan dengan kata-kata.
Sebuah kehidupan yang tak dapat dibayangkan oleh mereka yang tidak merasakannya.

A024
"Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dikumpulkan." 8:24


Tarbiyah itu ibarat menjaga pokok. Perlu disiram, dibaja dan dijaga secukup-cukupnya.


Usrah adalah salah satu wasilah pentarbiyahan yang paling muntij abad ini.
Usrah itu bukan sekadar untuk menambah ilmu semata,
Kerana ilmu boleh dicari di mana-mana.
Tetapi usrah itu institusi yang membentuk individu Muslim.
Individu yang menjadi asas pembentukan Islam pada saat ia ghuraba (terasing).

Mari menjadi hawariyyun..
Bismillahirrahmanirrahim..

Monday 9 April 2012

Warkah dari Tuhanmu

Alhamdulillah. Kembara yang benar-benar mengisi jiwa yang kosong, kembara yang membersihkan roh.

Kembara yang bukan sahaja membersihkan jiwa, tapi menuntut amal yang sohih.

Hakikat peribadi Rasulullah yang sangat mulia sehingga digelar Al Amin 40tahun sebelum kerasulan, sedikit pun tidak dapat mempengaruhi peribadi dan akhlak penduduk Mekah pada waktu itu.
Ini membuktikan, seseorang yang hanya berperibadi dan berakhlak mulia tidak cukup untuk mempengaruhi dan mengubah masyarakat sekeliling.

Al Quran.
Satu-satunya unsur yang membawa perubahan.
Penyebab lahirnya generasi Al Quran yang hebat.

Al Quran ini yang membawa fungsi yang sama, sejak ia diturunkan sehinggalah pada saat ini.

Things to ponder:
Kenapa masih berlaku kemunduran dalam kalangan orang Islam, sedangkan kita punya Al Quran yang sama, isi yang sama, dan ayat yang sama dengan para sahabat dan tabi' tabiien?

Cuba kita lihat ciri-ciri generasi Al Quran yang unik.

1. Menjadikan Al Quran sumber yang utama.

Setiap permasalahan yang ada akan dirujuk pada Al Quran. Tapi kita? Al Quran bukan sumber utama setiap permasalahan.

Contoh terdekat, Allah berfirman dalam surah Al Fatihah, ayat 6:

A006
Tunjukilah kami jalan yang lurus.


dan Allah menjawab dalam surah Al Baqarah ayat 2:
A002
Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yag bertakwa.

Sudah jelas tertulis, pada semua yang mahukan petunjuk, Allah turunkan Al Quran sebagai panduan untuk mendapatkan petunjuk.

Peliklah mereka yang setiap hari berdoa memohon petunjuk Dia, tetapi apabila diberi petunjuk; yakni (Al Quran), mereka menolak untuk mengikut. Malah mereka mengabaikannya.


2. Apabila mendapat Al Quran, mereka tinggalkan jahiliah 100%.

Ikrimah Abu Jahal, pada waktu jahiliahnya sangat benci dan menentang Rasulullah habis-habisan. Tetapi, apabila dia memeluk Islam, dialah penyokong kuat Rasulullah SAW.

Pada saat dia memeluk Islam, Ikrimah bersumpah :
"Wahai Nabi Muhammad, demi Allah dan dinar yang pernah aku gunakan untuk menentang Islam, akan aku gantikan berlipat kali ganda demi membela agamaNya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk menentang Islam, akan aku ganti dengan perjuangan yang berlipat kali ganda demi membela agamaNya. Aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir."
Kuat dia pada jahiliahnya, kuat juga dia pada islamnya. Bezanya dengan kita? Kita masih melakukan perkara jahiliah walaupun sudah jelas tertulis dalam Al Quran perintah Dia yang Maha Kuasa.


3. Baca Al Quran untuk beramal.

Sahabat-sahabat Rasulullah tidak akan menghafal ayat yang baru selagi mana mereka tidak mengamalkan perintah Allah dalam ayat yang telah dihafal.

Tetapi, umat zaman sekarang hanya menjadikan Al Quran sebagai perhiasan di rak buku, dibaca pada hari akad nikah, dibaca sebagai pendinding diri, tanpa niat untuk mengamalkannya.

Sebuah kisah di satu kampung. Raja telah menghantar surat kepada ketua kampung yang memerintahkannya untuk membina sebuah jambatan dalam masa dua bulan. Keesokan harinya, ketua kampung itu membaca surat tersebut dan mengulangi perbuatan tersebut setiap hari tanpa sebarang tindakan. Apabila cukup tempoh, Raja murka kerana tiada jambatan yang telah siap.

Refleksinya? Sama seperti kita. Al Quran bukan diturunkan hanya untuk dibaca, tetapi untuk diamalkan.
Contohnya, Allah berfirman dalam surah Al Mu'minun ayat 1-3:

A001
Sungguh, berjayalah orang-orang beriman.

A002
iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

A003
dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

Sekiranya kita betul-betul beriman dan beramal dengan ayat ini, nescaya kita akan berjaya.


Jelaslah, kenapa umat Islam sekarang masih mundur jika dibandingkan dengan umat terdahulu sedangkan kita punya Al Quran yang sama. Hal ini kerana, kita tidak menjalankan hak terhadap Al Quran yang diturunkan kepada kita. Kita tak menjadikannya petunjuk, dan tidak beramal dengannya. Kita tidak menggunakan Al Quran dalam setiap aspek kehidupan kita, malah kita hanya memilih yang mana sesuai dengan kita.

Abu A'la Al Maududi menyebut dalam bukunya 'Dasar-dasar Islam' ,

"Al Quran adalah bagaikan lautan, dan anda hanya mengambil dua titis daripadanya, padahal sebenarnya ia mampu memberikan air sebanyak lautan itu sendiri."



Pabila hati hilang cahaya iman
langkahnya hidup hitam tanpa penerang
pabila jiwa jauh dari Al Quran
langkahnya hidup bagai tanpa pedoman

Pabila mulut jauh dari AsmaNya
langkahnya hidup bagai hilang berkahNya
pabila dunia tak berlandaskan jiwa
siap-siap akhirat meninggalkannya

Di bayang-bayang fatamorgana
berharap hidup khusnul khatimah
di bayang-bayang fatamorgana
Diri memohon selamatkan hamba

-OPICK-

Thursday 5 April 2012

Pencarian

Kalau mahu mengaku diri dai'e, jahiliah bukan lagi sesuatu yang memberatkan.
Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Iman yang lusuh perlu diperbaharui.
Astaghfirullah.Astaghfirullah. Astaghfirullah.


Siapa lagi yang perlu dicari? Apa lagi yang perlu dicari?
Sudah jelas tertulis. Cuma diri masih bersikap sambil lewa.

Wahai diri. Kalau sudah mengaku kefahaman itu lebih dari yang lain, bangunlah.
Lepaskanlah segala yang mengikat. Seperti awan melepaskan sang hujan.
Pencarian dan penambahbaikan yang konsisten sangat-sangat diperlukan.
Berhentilah melakar angan-angan dunia yang sia-sia.

Biar pengharapan itu hanya pada Dia.
Ketentuan yang tak siapa dapat menjangka.
Ketetapan yang tak siapa dapat mentafsir.

Hari ini. Detik ini.
Masih membilang hari.
Mencari kekuatan yang abadi.
Membaja cinta Dia yang Agung.