Terbaik. Cerita yang penuh mesej yang bermakna. Realiti masyarakat Islam masa kini. Masalah terbesar yang melanda para pemuda harapan bangsa dan agama. Penyakit yang menular dalam jiwa para syabab. Sakit yang menyesakkan dada.
Tak ramai dalam kalangan mereka mahu meninggalkannya. Kerna ia manis. Dijadikan terasa indah perhubungan itu. Tapi hakikat sebenarnya, pahit. Sebuah kenyataan bahawa, bukan ini yang sepatutnya dicari. Bukan ini yang diajarkan Rasulullah SAW.
Bukan senang mahu mengubah persepsi dan pandangan mereka yang dibuai mimpi indah dalam alam percintaan ini, tentang makna sebenar CINTA. Andai diceritakan sehingga berbuih mulut pun, belum tentu mereka dapat memahami. Mana mungkin mereka sanggup melepaskan perasaan yang indah itu. Mana mungkin mereka mahu melepaskan kebahagiaan yang dirasakan kekal buat selamanya. Bukan senang mahu melepaskan sesuatu yang dikendong, untuk mengejar satu ketidakpastian.
Bagi mereka yang pernah berada dalam suasana itu, sudah pasti terlebih faham tentang kepalsuan rasa bahagia itu. Sudah pasti tidak mahu kembali memutarkan rasa kasih dan sayang yang mengundang murka Sang Pencipta, setelah dikejutkan dari lena yang panjang. Sudah pasti tidak mahu lagi jatuh ke longkang jahiliah itu, setelah diberi nikmat kefahaman dalam agama.
Pabila ingin menegur atas dasar pengalaman yang ada, nasihat ibarat mencurah air ke daun keladi. Kata mereka, "Dah putus cinta, senang ler nak cakap macam tu. Jealous la tu." Sungguh, jauh sekali untuk berbicara soal cemburu, tapi ini soal dosa pahala. Hanya yang mencari mampu untuk memahami.
Hurm,pabila couple sudah jadi budaya anak Melayu, dikata haram pun dihalalkan jua kerana bahagia dengan rasa itu. Mungkin lupa murka Dia yang menanti barangkali.
Ketahuilah, hanya ada dua kemungkinan dalam hubungan cinta yang dibina itu. Sama ada kalian bahagia dalam keadaan penuh dosa dan murka Allah, atau kalian frust menonggeng tatkala gagal dalam percintaan. Adakah itu bahagia yang dicari?
Apa ertinya cinta pada manusia jika cinta pada Allah dan Rasulullah saw belum kita balas? Hanya cakap-cakap kosong yang meniti di bibir saban hari. Perlakuan langsung tidak memaknai kata-kata yang diucap.
Wahai diri, tunjukkan buktinya andai engkau benar-benar cinta pada Allah dan Rasul!
Wahai diri, tunjukkan buktinya andai engkau benar-benar cinta pada Allah dan Rasul!
*************************
Alangkah indahnya jika sahabat yang saya sayangi itu, sehebat Aiman. Seorang lelaki yang mampu berubah secepat itu, yang mampu berubah hanya apabila didengarkan kisah Rasulullah. Seorang lelaki yang berusaha mencari erti cinta sebenar, bukan mengulangi kesalahan yang sama.
Benarlah, hidayah itu milik Allah. Dia akan memberi pada yang mencari, pada yang mahu.
Teruskan berusaha dan berdoa.
Rasa cinta itu nikmat, tetapi Dia sedang menguji ke mana disalurkan rasa itu. Haram atau halal. Pilihan tetap di tangan kita. Ujian yang mempersonakan sang hati lebih sukar untuk ditanggung berbanding ujian yang menyesakkan dada.
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkan aku dalam naungan cintaMu. Jadikanlah kesudahan aku, kesudahan yang Engkau redhai. Selamatkanlah insan-insan yang aku sayangi dan cintai. Suburkan hati mereka dengan cintaMu yang Maha luas.
MAA, moga engkau bahagia dengan jalan yang dipilih.
No comments:
Post a Comment