Hidup ini. Kalau hanya dijalani untuk menurut kehendak
manusia, memenuhi keperluan manusia, mencari penghargaan manusia, mencari
kesenangan dan kemewahan, maka sekadar itulah. Mungkin pada hari-hari
pertamanya, kita rasa gembira, teruja, tak sabar-sabar untuk mengejar semua
yang kita inginkan. Tapi lama kelamaan, kita akan rasa putus asa, kecewa, makan
hati tatkala kita semakin lelah untuk terus mengejar impian yang takkan pernah
habis. Kita penat melayan permintaan manusia yang takkan pernah puas. Hari demi hari, kita semakin lelah dan penat. Kenapa? Sebab semua yang kita lakukan bukan sebab Allah, tapi sebab
manusia, sebab dunia.
Hanya kerana ingin hidup senang di dunia, kita abaikan
tanggungjawab seorang hamba. Hanya kerana ingin menjaga hati manusia, kita
lukai Sang Pencipta. Hanya kerana ingin mendapat tempat di sisi seorang
manusia, kita sanggup buat apa saja, hatta melanggar ketetapan Dia sekalipun. Hanya
untuk menjaga perhubungan yang terjalin, kita sanggup turut sama terjebak dalam
kancah maksiat, jauh sekali untuk menghalang. Semuanya sebab, nak jaga hati.
Ada apa pada hati manusia? Bukankah Dia yang memegang hati manusia? Mengapa
perlu risau dan bimbang untuk menegur?
Kadang-kadang (mungkin selalunya), kita selalu nampak kesalahan
orang lain. Apa yang dia buat semua nampak salah. Kita keji dia, kita hina dia,
tapi siapa kita untuk menghukum? Sudah perfect sangatkah diri untuk menghukum
orang lain berdosa?? Kerana hati yang
kotor, niat yang tak sempurna, kita tak nampak yang buruk pada diri sendiri. Wahai
diri, berpadalah ketika bercakap, berhemahlah pabila menegur, kerana mulut
badan binasa.
Mana mungkin untuk menjadi manusia sehebat Rasulullah SAW
dan sahabat, kita hanya perlu duduk bersenang lenang. Hidup dalam dunia sendiri, kemahuan sendiri. Kalau setakat post status di facebook, twitter, bagi tazkirah sikit-sikit sudah memadai untuk masuk syurga, mimpilah!
Di mana tujuan sebenar hidupmu, wahai diri yang mengakui
hamba Allah?? Sudah lupakah kamu pada janji-janji yang pernah diucapkan? Sudah
lupakah pada nikmat Dia yang selalu menyelamatkan kamu dari kekalahan dan
kejatuhan? Sudah lupakah?
***********************************************
Terlalu banyak yang perlu diperbaiki, terlalu banyak khilaf.
Terlalu banyak mencari salah orang lain, sedang diri sendiri semakin layu. Seorang
daie tugasnya adalah mengajak manusia kembali kepada Allah, bukan menjadi fitnah
kepada agama hanya kerana perkataan yang dikeluarkan mengguris hati manusia.
Mencari-cari semangat yang hilang. Mencari-cari kekuatan
unntuk terus mengejar redha Dia, bukan redha manusia. Mengejar cinta Dia, bukan
cinta manusia.
Move on. Islam tak memerlukanmu, tapi kamu yang memerlukan
Islam.
Allah, dunia ciptaanMu ini benar-benar mencabar keimanan…
Allah, permintaan dulu,kini dan selamanya. Letakkan dunia di tangan kami, bukan di hati untuk dicintai.
No comments:
Post a Comment