Thursday, 19 April 2012

Rindu


Sungguh, aku benar-benar rindu.
Rindu pada segalanya.
Rindu pada kehidupan.
Rindu pada manusia.
Rindu pada rasa cinta.
Rindu pada rasa sayang.
Rindu pada rasa ketenangan.
Rindu pada rasa kedamaian.
Rindu pada rasa rendah diri.
Rindu pada rasa seorang hamba.
Rindu pada rasa yang membersihkan.
Rindu pada rasa yang menyucikan.

Rindu pada Dia yang mengatur segalanya.


Saat aku menyelak helaian kenangan lalu,
Air mata tumpah lagi.
Allahu rabbi.
Aku rindu.


Saturday, 14 April 2012

Hawariyyun


“Cinta Dia urusan kita, cinta manusia urusan Dia.”

Benarlah kata-kata ini.
Andai cinta Dia yang dikejar, usah dibimbangkan pada yang lain.
pasti Dia uruskan dengan sesempurnanya.
Kerana Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Pada saat seluruh jiwa dan raga diserahkan pada Dia,
diabdikan hanya atas jalan Dia,
tiada apa lagi yang dapat diharapkan melainkan redhaNya.
Apa lagi yang lebih bermakna dari kasih dan cinta dari Dia yang menciptakan?
Apa lagi yang membahagiakan daripada janji Dia yang pasti di syurga nanti?
Subhanallah. Maha Suci Allah.

Suatu ketika dahulu,
pada saat kaki mula melangkah bertatih atas jalan dakwah dan tarbiyah,
aku sering bertanya-tanya.
Ragu-ragu andai jalan ini yang dipilih,
Terlalu banyak yang perlu dikorbankan.
Hati, perasaan, cinta, masa, wang dan tenaga.

Hakikatnya,
Pada saat aku merasakan hidup dalam tarbiyah,
Aku belajar untuk mengenali  dan memahami.
Bahawa tarbiyah itulah kehidupan.
Tarbiyah itu adalah perasaan.
Keperluan yang menyucikan segala kekotoran hidup insani.
Nikmat yang tak bisa diungkapkan dengan kata-kata.
Sebuah kehidupan yang tak dapat dibayangkan oleh mereka yang tidak merasakannya.

A024
"Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada sesuatu yang memberi kehidupan, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dikumpulkan." 8:24


Tarbiyah itu ibarat menjaga pokok. Perlu disiram, dibaja dan dijaga secukup-cukupnya.


Usrah adalah salah satu wasilah pentarbiyahan yang paling muntij abad ini.
Usrah itu bukan sekadar untuk menambah ilmu semata,
Kerana ilmu boleh dicari di mana-mana.
Tetapi usrah itu institusi yang membentuk individu Muslim.
Individu yang menjadi asas pembentukan Islam pada saat ia ghuraba (terasing).

Mari menjadi hawariyyun..
Bismillahirrahmanirrahim..

Monday, 9 April 2012

Warkah dari Tuhanmu

Alhamdulillah. Kembara yang benar-benar mengisi jiwa yang kosong, kembara yang membersihkan roh.

Kembara yang bukan sahaja membersihkan jiwa, tapi menuntut amal yang sohih.

Hakikat peribadi Rasulullah yang sangat mulia sehingga digelar Al Amin 40tahun sebelum kerasulan, sedikit pun tidak dapat mempengaruhi peribadi dan akhlak penduduk Mekah pada waktu itu.
Ini membuktikan, seseorang yang hanya berperibadi dan berakhlak mulia tidak cukup untuk mempengaruhi dan mengubah masyarakat sekeliling.

Al Quran.
Satu-satunya unsur yang membawa perubahan.
Penyebab lahirnya generasi Al Quran yang hebat.

Al Quran ini yang membawa fungsi yang sama, sejak ia diturunkan sehinggalah pada saat ini.

Things to ponder:
Kenapa masih berlaku kemunduran dalam kalangan orang Islam, sedangkan kita punya Al Quran yang sama, isi yang sama, dan ayat yang sama dengan para sahabat dan tabi' tabiien?

Cuba kita lihat ciri-ciri generasi Al Quran yang unik.

1. Menjadikan Al Quran sumber yang utama.

Setiap permasalahan yang ada akan dirujuk pada Al Quran. Tapi kita? Al Quran bukan sumber utama setiap permasalahan.

Contoh terdekat, Allah berfirman dalam surah Al Fatihah, ayat 6:

A006
Tunjukilah kami jalan yang lurus.


dan Allah menjawab dalam surah Al Baqarah ayat 2:
A002
Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yag bertakwa.

Sudah jelas tertulis, pada semua yang mahukan petunjuk, Allah turunkan Al Quran sebagai panduan untuk mendapatkan petunjuk.

Peliklah mereka yang setiap hari berdoa memohon petunjuk Dia, tetapi apabila diberi petunjuk; yakni (Al Quran), mereka menolak untuk mengikut. Malah mereka mengabaikannya.


2. Apabila mendapat Al Quran, mereka tinggalkan jahiliah 100%.

Ikrimah Abu Jahal, pada waktu jahiliahnya sangat benci dan menentang Rasulullah habis-habisan. Tetapi, apabila dia memeluk Islam, dialah penyokong kuat Rasulullah SAW.

Pada saat dia memeluk Islam, Ikrimah bersumpah :
"Wahai Nabi Muhammad, demi Allah dan dinar yang pernah aku gunakan untuk menentang Islam, akan aku gantikan berlipat kali ganda demi membela agamaNya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan untuk menentang Islam, akan aku ganti dengan perjuangan yang berlipat kali ganda demi membela agamaNya. Aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir."
Kuat dia pada jahiliahnya, kuat juga dia pada islamnya. Bezanya dengan kita? Kita masih melakukan perkara jahiliah walaupun sudah jelas tertulis dalam Al Quran perintah Dia yang Maha Kuasa.


3. Baca Al Quran untuk beramal.

Sahabat-sahabat Rasulullah tidak akan menghafal ayat yang baru selagi mana mereka tidak mengamalkan perintah Allah dalam ayat yang telah dihafal.

Tetapi, umat zaman sekarang hanya menjadikan Al Quran sebagai perhiasan di rak buku, dibaca pada hari akad nikah, dibaca sebagai pendinding diri, tanpa niat untuk mengamalkannya.

Sebuah kisah di satu kampung. Raja telah menghantar surat kepada ketua kampung yang memerintahkannya untuk membina sebuah jambatan dalam masa dua bulan. Keesokan harinya, ketua kampung itu membaca surat tersebut dan mengulangi perbuatan tersebut setiap hari tanpa sebarang tindakan. Apabila cukup tempoh, Raja murka kerana tiada jambatan yang telah siap.

Refleksinya? Sama seperti kita. Al Quran bukan diturunkan hanya untuk dibaca, tetapi untuk diamalkan.
Contohnya, Allah berfirman dalam surah Al Mu'minun ayat 1-3:

A001
Sungguh, berjayalah orang-orang beriman.

A002
iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.

A003
dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

Sekiranya kita betul-betul beriman dan beramal dengan ayat ini, nescaya kita akan berjaya.


Jelaslah, kenapa umat Islam sekarang masih mundur jika dibandingkan dengan umat terdahulu sedangkan kita punya Al Quran yang sama. Hal ini kerana, kita tidak menjalankan hak terhadap Al Quran yang diturunkan kepada kita. Kita tak menjadikannya petunjuk, dan tidak beramal dengannya. Kita tidak menggunakan Al Quran dalam setiap aspek kehidupan kita, malah kita hanya memilih yang mana sesuai dengan kita.

Abu A'la Al Maududi menyebut dalam bukunya 'Dasar-dasar Islam' ,

"Al Quran adalah bagaikan lautan, dan anda hanya mengambil dua titis daripadanya, padahal sebenarnya ia mampu memberikan air sebanyak lautan itu sendiri."



Pabila hati hilang cahaya iman
langkahnya hidup hitam tanpa penerang
pabila jiwa jauh dari Al Quran
langkahnya hidup bagai tanpa pedoman

Pabila mulut jauh dari AsmaNya
langkahnya hidup bagai hilang berkahNya
pabila dunia tak berlandaskan jiwa
siap-siap akhirat meninggalkannya

Di bayang-bayang fatamorgana
berharap hidup khusnul khatimah
di bayang-bayang fatamorgana
Diri memohon selamatkan hamba

-OPICK-

Thursday, 5 April 2012

Pencarian

Kalau mahu mengaku diri dai'e, jahiliah bukan lagi sesuatu yang memberatkan.
Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan. Iman yang lusuh perlu diperbaharui.
Astaghfirullah.Astaghfirullah. Astaghfirullah.


Siapa lagi yang perlu dicari? Apa lagi yang perlu dicari?
Sudah jelas tertulis. Cuma diri masih bersikap sambil lewa.

Wahai diri. Kalau sudah mengaku kefahaman itu lebih dari yang lain, bangunlah.
Lepaskanlah segala yang mengikat. Seperti awan melepaskan sang hujan.
Pencarian dan penambahbaikan yang konsisten sangat-sangat diperlukan.
Berhentilah melakar angan-angan dunia yang sia-sia.

Biar pengharapan itu hanya pada Dia.
Ketentuan yang tak siapa dapat menjangka.
Ketetapan yang tak siapa dapat mentafsir.

Hari ini. Detik ini.
Masih membilang hari.
Mencari kekuatan yang abadi.
Membaja cinta Dia yang Agung.

Thursday, 29 March 2012

Jiwa Penghuni Raudhah

Jiwa-jiwa di sana.
Hati-hati di tanah barakah itu.
Sakit dengan tekanan demi tekanan
Terseksa dengan serangan demi serangan.
Kematian datang menjemput tak kenal masa.
Sedang tubuh terpenjara di tanah sendiri.

Biar kemiskinan datang menghimpit.
Biar peluru datang menyesakkan dada. 
Ketakutan tak pernah datang bermukim di qalbu.
Kerisauan tak pernah hadir menjengah lubuk nurani.
Bahtera kehidupan tetap terus diperjuangkan.
Kerana mereka yakin adanya Dia yang menjaga.
Adanya Dia yang memelihara.

Kita dan mereka.
Jiwa kita dan mereka.
hati kita dan mereka.
Iman kita dan mereka.
Cukup jauh berbeza.
Bagai langit dan bumi.
Bagai enggang dengan pipit.
Bagai kaca dan permata.
Bagai mimpi dan realiti.

Ya, mereka benar-benar hebat.
Pandangan yang cukup berbeza tentang dunia.
Bahagia dunia bukan pada carta pertama sebuah kehidupan.
Cukuplah syahid fisabilillah menjadi impian yang satu.
Pegangan yang tetap kuat berpaksikan Dia yang Esa.

Benar, mereka miskin dunia.
Tetapi mereka kaya akhirat.
Kita sebenarnya yang tenggelam.
Hanyut dalam gelombang kekayaan dunia.
Hakikat kita yang miskin akhirat cuma dipandang sebelah mata.
Sedang benteng iman kita ini dibina sambil lewa.

Jiwa-jiwa di sana.
Hati-hati di tanah barakah itu.
Anda sungguh bertuah wahai anak-anak Palestina.
Kuntuman bunga di Raudhah sedang menanti kalian.



Satu cerita dari tanah itu yang cukup menyentuh hati. Seorang ibu gembira apabila anak lelaki pertamanya syahid. Namun apabila anak lelaki keduanya syahid, dia bersedih. Bukan sedih kerana tiada lagi anak yang menemani hari tua, tapi sedih kerana dia hanya punya dua anak. Tiada lagi anak dari darah dagingnya yang dapat syahid di tanah barakah itu. Tapi kita? Fikirkan mati pun sudah takut, apatah lagi untuk mengimpikan syahid fisabilillah. 

Pernah juga terfikir, mungkin saja kesenangan yang kita punya sekarang adalah kerana doa-doa mereka. Doa-doa buat saudara seIslam. Mereka peduli tentang kita meski hidup mereka tak sebahagia kita. Tapi kita, sepatah doa pun tidak hadiahkan buat mereka. Yang kita pinta: "Allah, beri aku kejayaan dalam hidupku, beri aku jodoh yang soleh dan solehah, beri aku kebahagiaan". Kaca mata kita sekarang adalah dunia. Kaca mata yang dikaburi kebahagiaan dan kesenangan dunia.

"Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." 29:64

Saturday, 24 March 2012

-

engkau dan aku.
usah dibanding cobaan siapa lebih berat.
usah ditanya sakit siapa lebih derita.
usah dihitung siapa lebih ego.
usah dilihat salah siapa.
aku dan engkau.
tak kan pernah sama.




Kuat.

Kamu, berbahagialah.

Friday, 23 March 2012

Putik yang tersembunyi.

Hanyut.
Realiti muda mudi masa kini.

Hanyut dengan apa?
sudah tentu keindahan dan keseronokan dunia.
Mungkin saja yang jelas pada pandangan kita,
cuma pemuda yang rosak akhlaknya,
pemuda yang terjebak dengan gejala sosial.

Tapi kita lupa.
ada pemuda yang baik akhlaknya.
cantik peribadinya.
indah tutur katanya.
Tapi mereka juga sedang hanyut.

Kerana apa?
Kerana mata mereka dikaburi cinta dunia.
Hati mereka dipenuhi penyakit wahan.
Dek kerana ingin mengejar wang dan harta,
mereka lupa Tuhan.
mereka lupa tanggungjawab insan.
mereka lupa matlamat hidup sebenar.
(tabik spring pada siapa yang mengejar kemewahan dunia, tapi tak pernah lupa dan tinggal tiga-tiga elemen ni. Anda memang hebat! Alhamdulillah. Syukur pada Dia. Keep it up. ^_^)

Benar, bukan semua dari mereka begitu.
Cuma perlu diingat, ada yang tergelincir.
Mereka yang hanyut tanpa kita sedari.
Semakin tenat jika tiada yang mahu ambil peduli.
Malah lebih sukar untuk dipulihkan dari pemuda yang rosak akhlaknya.
kerana kita dan mereka, sama-sama tak sedar.
bahawa merekalah pemuda yang sedang tersasar.

Kenapa perlu selamatkan mereka?
kerana merekalah ar rijal,
pemuda harapan agama dan bangsa.

"Kalau nak lihat sebuah negara 20 tahun akan datang, lihatlah para pemudanya."

Ada apa pada pemuda?
mereka muda, ibarat putik bunga.
putik yang ada harapan untuk berkembang.
muda yang kita nanti-nantikan kematangannya.
muda yang kita nanti-nantikan kebangkitannya.

Pemuda yang tegas dan berani.
Pemuda yang sentiasa bergerak aktif.
Pemuda yang ada kemahuan dan cabaran.
Pemuda yang punya harapan, cita-cita dan peluang.
Pemuda yang punya banyak pilihan.
dan sudah tentu, pemuda yang punya jati diri yang asli.

Jangan hanya memandang pada pemuda yang rosak akhlaknya,
kerana di sebalik pandangan itu,
ada yang cantik di luar, tapi rosak di dalam.
yang mereput dan membusuk dalam diam.

Terlindung.
Tersembunyi.


"Sampai bila rumah akan siap, kalau seorang membina, seorang lagi meroboh. Lebih mudah untuk memperbetulkannya andai kita tahu siapa yang meroboh. Tapi andai kata kita tak nampak siapa yang sedang meroboh, sudah tentu proses pembinaan itu akan jadi tersangat panjang."


(Kredit)

Kalau dah namanya make up, yang buruk pun nampak cantik kan.


Cubaan untuk bersangka baik. Allah, permudahkanlah. :) 


Allah, semoga rezeki itu milik mereka. Jangan Engkau lalaikan mereka sehingga mereka melupakanMu. Jangan Engkau biarkan mereka terus hanyut. Bimbinglah mereka. Jadikanlah jalan yang mereka pilih itu, jalan yang Engkau redhai. Jalan yang mengembalikan diri mereka kepadaMu. Jalan yang mendekatkan diri mereka denganMu. Beri mereka kefahaman. Kurniakan mereka sesuatu yang memberi kehidupan. Sesuatu yang menjadikan mereka pemuda Islam yang dinantikan.


Allah, aku faham niat mereka. Keinginan yang benar-benar suci dan murni untuk memperbaiki kehidupan masing-masing. Allah, beri mereka pencerahan. Permudahkan urusan mereka. Tambahkan kurniaanMu kepada mereka, supaya mereka berjaya dunia dan akhirat. Buka pintu hati mereka untuk memperbaiki kehidupan akhirat juga ya Allah.


Allah, bersihkan hati ini dari sebarang rasa prasangka. Sucikanlah. Kuatkanlah. 

Tuesday, 20 March 2012

Dia dan dia

Buat dia.

Maaf. Mungkin saja semua yang telah diri ini perbuat untukmu, bukan sebenarnya sebab Dia. Mulut kata ya, tapi hatiku menafikannya. Ia masih dipenuhi karat jahiliah. Aku masih mengharap balasan dunia. Mengharap rasa manusia. Lillah, kerana tarbiyah ini aku mengenal banyak perkara. Aku belajar mengenali diri sendiri. Tapi aku juga manusia, aku sering kali kalah dan jatuh rebah.

Maaf. Mungkin saja kata-kataku tak memberi sebarang kesan dek kerana kekotoran hati ini. Aku akui. Kekadang tingkah laku ini disertai nafsu yang membuak-buak. Diiringi kerisauan atas sesuatu yang tak sepatutnya. Ditemani harapan atas ketidakpastian. Dihujani cemburu buta. Ditaburi bunga cinta dunia.

Maaf. Aku tak mampu. Tak mampu untuk menahan. Tak mampu untuk memandang. Tak mampu untuk berkata. Aku bukanlah pemberi peringatan terbaik buatmu. Moga Dia menghantar seseorang yang lebih baik.  Hanya titipan doa yang tinggal. Semoga kekal bersahabat. Sampai syurga.

Lafaz tersimpan. Biar di sini selamanya. Selagi belum disulami cinta Ilahi. 


Buat Dia.

Maaf. Aku kalah lagi. Bimbing aku. Beri aku ruang dan peluang. 
Hanya Engkau. Cuma Engkau. Tiada yang lain.
Biar sakit ini, sedih ini, derita ini jadi penghapus dosa-dosa lalu.