Thursday, 29 March 2012

Jiwa Penghuni Raudhah

Jiwa-jiwa di sana.
Hati-hati di tanah barakah itu.
Sakit dengan tekanan demi tekanan
Terseksa dengan serangan demi serangan.
Kematian datang menjemput tak kenal masa.
Sedang tubuh terpenjara di tanah sendiri.

Biar kemiskinan datang menghimpit.
Biar peluru datang menyesakkan dada. 
Ketakutan tak pernah datang bermukim di qalbu.
Kerisauan tak pernah hadir menjengah lubuk nurani.
Bahtera kehidupan tetap terus diperjuangkan.
Kerana mereka yakin adanya Dia yang menjaga.
Adanya Dia yang memelihara.

Kita dan mereka.
Jiwa kita dan mereka.
hati kita dan mereka.
Iman kita dan mereka.
Cukup jauh berbeza.
Bagai langit dan bumi.
Bagai enggang dengan pipit.
Bagai kaca dan permata.
Bagai mimpi dan realiti.

Ya, mereka benar-benar hebat.
Pandangan yang cukup berbeza tentang dunia.
Bahagia dunia bukan pada carta pertama sebuah kehidupan.
Cukuplah syahid fisabilillah menjadi impian yang satu.
Pegangan yang tetap kuat berpaksikan Dia yang Esa.

Benar, mereka miskin dunia.
Tetapi mereka kaya akhirat.
Kita sebenarnya yang tenggelam.
Hanyut dalam gelombang kekayaan dunia.
Hakikat kita yang miskin akhirat cuma dipandang sebelah mata.
Sedang benteng iman kita ini dibina sambil lewa.

Jiwa-jiwa di sana.
Hati-hati di tanah barakah itu.
Anda sungguh bertuah wahai anak-anak Palestina.
Kuntuman bunga di Raudhah sedang menanti kalian.



Satu cerita dari tanah itu yang cukup menyentuh hati. Seorang ibu gembira apabila anak lelaki pertamanya syahid. Namun apabila anak lelaki keduanya syahid, dia bersedih. Bukan sedih kerana tiada lagi anak yang menemani hari tua, tapi sedih kerana dia hanya punya dua anak. Tiada lagi anak dari darah dagingnya yang dapat syahid di tanah barakah itu. Tapi kita? Fikirkan mati pun sudah takut, apatah lagi untuk mengimpikan syahid fisabilillah. 

Pernah juga terfikir, mungkin saja kesenangan yang kita punya sekarang adalah kerana doa-doa mereka. Doa-doa buat saudara seIslam. Mereka peduli tentang kita meski hidup mereka tak sebahagia kita. Tapi kita, sepatah doa pun tidak hadiahkan buat mereka. Yang kita pinta: "Allah, beri aku kejayaan dalam hidupku, beri aku jodoh yang soleh dan solehah, beri aku kebahagiaan". Kaca mata kita sekarang adalah dunia. Kaca mata yang dikaburi kebahagiaan dan kesenangan dunia.

"Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." 29:64

No comments:

Post a Comment