Monday, 29 October 2012

Raudhah kita

mereka.
jiwa-jiwa yang selalu ada.
hati-hati yang selalu sedia.
tika susah dan senang.
tika keserabutan melanda.
tika kemarahan membara.

senyum itu.
ketenangan wajah itu.
bisa meruntuhkan tembok ego.
bisa melembutkan kerasnya hati.
bisa meredakan kemarakan amarah.

Allah.
sayang buat mereka,
biarlah bukan kerana harta.
bukan kerana rupa.
bukan kerana apa-apa melainkan Engkau.
only because of YOU.
always YOU.
and YOU.



moga Raudhah jadi milik kita, kelak. ♥♥♥


Saturday, 20 October 2012

#bahasahati

ajarin jiwa, bahasa Arrahim.
sucikanlah.
bersihkanlah.

moga derapan langkah itu makin dekat.
moga pandangan itu makin jelas.

agar sang hati, tak lari lagi.

moga sakit melepaskan, jadi kemuncak bahagia di sana.
moga keyakinan, tetap utuh di dada.

agar sang hati, tak kering lagi.





#it might not be everything, but it is something to ponder upon.


Tuesday, 4 September 2012

Tersirat

sesak. entah apa lagi yang ingin dirisaukan.
entah apa lagi yang mahu dirumitkan.

masa berlalu pergi.
hari-hari derita harus ditinggal mati.
biar ia terkubur di pinggiran jalan.

beertikah lagi tangisan untuk itu?

usah dinanti sebuah penghargaan dari seseorang yang bergelar manusia.
andai bunga-bunga yang mekar itu diracuni dengan tangan-tangan mereka.

usah dinanti kata maaf meluncur keluar dari mulut seseorang yang bergelar manusia.
andai ego setinggi Everest terus membakar dalam lahar jiwa-jiwa mereka.

sebak. entah apa lagi yang ingin didedahkan.
entah apa lagi yang mahu dirahsiakan.




berjuanglah. selagi termampu.


Sunday, 24 June 2012

Monolog hati yang kotor


Hidup ini. Kalau hanya dijalani untuk menurut kehendak manusia, memenuhi keperluan manusia, mencari penghargaan manusia, mencari kesenangan dan kemewahan, maka sekadar itulah. Mungkin pada hari-hari pertamanya, kita rasa gembira, teruja, tak sabar-sabar untuk mengejar semua yang kita inginkan. Tapi lama kelamaan, kita akan rasa putus asa, kecewa, makan hati tatkala kita semakin lelah untuk terus mengejar impian yang takkan pernah habis. Kita penat melayan permintaan manusia yang takkan pernah puas. Hari demi hari, kita semakin lelah dan penat. Kenapa? Sebab semua yang kita lakukan bukan sebab Allah, tapi sebab manusia, sebab dunia.

Hanya kerana ingin hidup senang di dunia, kita abaikan tanggungjawab seorang hamba. Hanya kerana ingin menjaga hati manusia, kita lukai Sang Pencipta. Hanya kerana ingin mendapat tempat di sisi seorang manusia, kita sanggup buat apa saja, hatta melanggar ketetapan Dia sekalipun. Hanya untuk menjaga perhubungan yang terjalin, kita sanggup turut sama terjebak dalam kancah maksiat, jauh sekali untuk menghalang. Semuanya sebab, nak jaga hati. Ada apa pada hati manusia? Bukankah Dia yang memegang hati manusia? Mengapa perlu risau dan bimbang untuk menegur?

Kadang-kadang (mungkin selalunya), kita selalu nampak kesalahan orang lain. Apa yang dia buat semua nampak salah. Kita keji dia, kita hina dia, tapi siapa kita untuk menghukum? Sudah perfect sangatkah diri untuk menghukum orang lain berdosa??  Kerana hati yang kotor, niat yang tak sempurna, kita tak nampak yang buruk pada diri sendiri. Wahai diri, berpadalah ketika bercakap, berhemahlah pabila menegur, kerana mulut badan binasa.

Mana mungkin untuk menjadi manusia sehebat Rasulullah SAW dan sahabat, kita hanya perlu duduk bersenang lenang. Hidup dalam dunia sendiri, kemahuan sendiri. Kalau setakat post status di facebook, twitter, bagi tazkirah sikit-sikit sudah memadai untuk masuk syurga, mimpilah! 

Di mana tujuan sebenar hidupmu, wahai diri yang mengakui hamba Allah?? Sudah lupakah kamu pada janji-janji yang pernah diucapkan? Sudah lupakah pada nikmat Dia yang selalu menyelamatkan kamu dari kekalahan dan kejatuhan? Sudah lupakah?

***********************************************

Terlalu banyak yang perlu diperbaiki, terlalu banyak khilaf. Terlalu banyak mencari salah orang lain, sedang diri sendiri semakin layu. Seorang daie tugasnya adalah mengajak manusia kembali kepada Allah, bukan menjadi fitnah kepada agama hanya kerana perkataan yang dikeluarkan mengguris hati manusia.

Mencari-cari semangat yang hilang. Mencari-cari kekuatan unntuk terus mengejar redha Dia, bukan redha manusia. Mengejar cinta Dia, bukan cinta manusia.

Move on. Islam tak memerlukanmu, tapi kamu yang memerlukan Islam.

Allah, dunia ciptaanMu ini benar-benar mencabar keimanan…

Allah, permintaan dulu,kini dan selamanya. Letakkan dunia di tangan kami, bukan di hati untuk dicintai.

Sunday, 17 June 2012

Bukan lari. Tapi mencari.

3 minggu berlalu. Hari-hari yang diisi dengan penuh hati-hati. Semoga Mr Jahiliah tidak mula bermukim di hati pada saat kelapangan waktu bermaharajalela. Bermula dengan Kampung Tarbiah, Summer Training Camp, dan Jaulah Budapest. Sebuah aturan perjalanan demi mencari tarbiah dari Dia. Tempoh masa yang bukan sengaja dihabiskan untuk keseronokan semata, tapi ia adalah satu tempoh mencari diri, memperbaiki diri, mentarbiah diri, membersihkan hati dan jiwa dari kekotoran jahiliah. Satu tempoh yang sengaja dihabiskan untuk menyibukkan diri, melarikan diri dari berfikir perkara-perkara remeh, mungkin juga lari dari ketakutan berhadapan dengan realiti. 

Waterford, Ireland

Northern Ireland


Budapest, Hungary


Ketakutan utama pada saat ini adalah, saat jejaknya kaki di bumi Malaysia. Bumi yang tiada lagi sahabat-sahabat sebilik atau serumah untuk saling ingat mengingati tentang Allah, dek kerana terpisah di negeri masing-masing. Bumi yang mengingatkan aku tentang masa lampau, zaman main-mainku. Bukan senang untuk menguatkan diri, apatah lagi untuk saling menguatkan antara satu sama lain, sedang satu demi satu kekotoran jahiliah datang menerpa, satu demi satu kenangan itu datang menunjukkan diri. 

Huh, sampai bila harus berlari dan melarikan diri dari kenyataan. Cukup-cukuplah wahai diri. Masa yang ada tidak cukup banyak untuk membina semula impian itu. Berserahlah, percaya pada ketetapan Dia, terimalah seadanya. 3 months to go.

Malaysia, please be nice to me.



Andai menggapai impian semudah membuat perancangan. Make a wish!

Saturday, 26 May 2012

Cuti Musim Panas


Cuti musim panas telah bermula. Ramai yang menjerit kegirangan, tak lupa juga yang sudah mula merancang cuti. List things to do semakin panjang nampaknya, dan mungkin juga tak tahu di mana penamatnya. ^_^  tatkala diimbas sekali lalu list tersebut, erk.. @_@ Terlalu banyak mencari dunia dari akhirat rupanya.

Patutlah orang kata, masa lapang itu adalah satu ujian. Pintu terbuka luas. Cuma pilih saja nak ikut tarikan iman atau tarikan hawa nafsu. Semestinya, setiap detik itu pasti akan ditanya, ke mana ia digunakan. Mungkin kerana itulah, ada pepatah Arab yang menyebut, "Masa itu ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita."

"Penyesalanku setiap hari adalah apabila terbenam matahari, semakin singkat umur. Sedangkan amal tak bertambah."  Abdullah Bin Mas'ud

Hari demi hari, saat demi saat, sejak kecil hingga dewasa, kita sering diperingatkan tentang masa. Surah Al Asr itu dibaca berulang-ulang kali, dihafal, tetapi tidak pernah difahami dan diamalkan. Astaghfirullah, alangkah ruginya kita. Lupakah, semakin berlalunya masa, saat kematian akan tiba bila-bila masa saja. Lupakah, semakin berlalunya masa, semakin dekatlah kita dengan kehidupan akhirat. 

A046
"(Sangatlah dasyat hari hura-hara itu, sehingga orang yang bersalah) Pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." 79:46

Pada hari itu, kehidupan dunia bagi orang-orang yang berdosa, seolah-olah hanya satu pagi atau petang. Ayuh, lihatlah betapa singkatnya kehidupan ini. Tetapi, entah berapa ribu kali kita merasakan dunia inilah segala-galanya. Kita merasakan kematian itu seolah-olah tidak akan berlaku. Kerana sangkaan itu, kita semakin lalai, mensia-siakan setiap detik yang dianugerahkan, menghabiskan tiap saat dengan perkara-perkara yang tak membuahkan amal, yang tak membawa ke syurga.

A009
A010
"Wahai orang-orang beriman! janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Dan barang siapa berbuat demikian, mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan infaklah sebagian dari harta yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang dari kamu; lalu dia bekata(menyesali), 'Ya Tuhanku, sekiranya Engkau berkenan menunda (kematian)ku sedikit masa lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang saleh.'" 63:9-10

Kematian itu adalah guru terbaik. Kalau tak jadikan kematian sebagai guru,kita termasuk orang yang rugi. Sebab kematian sepatutnya jadi berita gembira kepada orang mukmin, kerana ia pintu kebahagiaan.

"Umat Islam pada akhir zaman akan lemah dan ditindas oleh orang kafir dengan rakus, bukan kerana mereka sedikit. Tetapi banyaknya mereka adalah seperti buih di lautan. Tetapi mereka ditimpa penyakit wahan, iaitu cintakan dunia dan takutkan mati."

Kata orang,kita bukan takut mati, tapi kita takut amalan kita masih belum cukup. Tapi, andai hingga saat ini amal tak bertambah, kita sebenarnya memang takut mati. takut sebab kita terlalu asyik membina kehidupan dunia dan tak membina kehidupan akhirat.


Hasilnya, mestilah kita tak nak tinggalkan kehidupan yang kita dah bina dan pergi kepada kehidupan yang kita tak bina apa-apa pun kan? =.=''


Saat ini, detik ini, betapa ramainya kita yang masih stuck di B, dan terus-terusan bersenang lenang dengan kehidupan dunia, sampai kita lupa pengakhiran perjalanan kita adalah di C.

Perjalanan masih panjang, usah terlalu bergembira di tempat persinggahan.

*******************************

Semakin berlalunya masa, semakin dekatnya saat itu. Perasaan demi perasaan datang silih berganti. Semakin banyak air mata yang dialirkan kerana melihat priority hidup dia masih tentang dunia, sedang aku tak mampu berbuat apa. Sakitnya hati menahan perasaan, hanya Dia yang tahu. Adakah perlu berhenti menasihati dan berharap ada yang lain datang menyelamatkan dia dari angan-angan dunia? Ahhh..manusia.. suka benar bersangka-sangka. baru seciput usaha, sudah mahu tarik diri? Allah...aku tak mampu... Bukan salah dia jadi begitu. Persekitaran itu benar-benar memenangkan kebatilan, sedang yang haq terpinggir di jalanan. Mereka-mereka di sana semakin sesak dadanya, disuapkan dan disibukkan dengan cinta makhluk,harta dan dunia, berhibur dan berlibur sesukinya, hingga tiada yang peduli masalah ummat.

Ya Allah, cerahkanlah pandangan mata dan hati kami untuk melihat luasnya akhirat berbanding sempitnya dunia.

Monday, 14 May 2012

Kenangan.Kebahagiaan.Cikgu BM.♥♥♥

Alhamdulillah. Paper keempat selesai dengan selamatnya. One more to go. Then, I'm free from exam dunia. :) Tengok tarikh hari ni, sebulan je lagi nak menjejakkan kaki di tanah air tercinta. Gembirakah aku?

Persoalan yang sering bermain dalam fikiran, bersediakah aku untuk pulang? Bersediakah aku untuk menghadapi hakikat aku di sana? Kuatkah aku? Moga-moga benteng kekuatan yang dibina selama lima bulan itu, tak runtuh dengan hanya memandang kenangan. :)

Siapa bilang kenangan tak boleh meruntuhkan tembok kekuatan? Susah tahu? Betul kata kamu, barang yang lepas jangan dikenang. Pandang terus ke hadapan, jangan toleh ke belakang. Tapi, kenangan itu berguna tahu? Kenangan dapat mengubah hati dan perasaan seseorang. Kenangan dapat mengubah pendirian seseorang. Banyak perubahan positif dapat dibuat dengan kenangan yang ada.

Tetapi, kenangan juga boleh membunuh. Terlalu larut dalam kenangan juga akan menyakitkan diri sendiri. Melukakan hati sendiri. Membuat kamu mengalirkan air mata sia-sia. Cukup-cukuplah menyeksa perasaan sendiri. Cukup-cukuplah menangisi sesuatu yang hanya tinggal kenangan. Cukup-cukuplah menyelak helaian kenangan yang tak membuahkan amal. :)

Bahagia. Bahagiakah aku? Saat memandang kebahagian manusia lain, manusia yang pernah susah senang bersamaku, aku tersenyum sendiri. Mungkin juga dengan mata yang berkaca. Kecewa? Gembira? Cemburu? Bercampur baur. Tipulah kalau cakap memandang tanpa rasa cemburu, bukan? :p

"Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada kenikmatan yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka, (sebagai) bunga kehidupan dunia. Agar Kami uji mereka dengan (kesenangan) itu. Karunia Tuhanmu lebih baik dan lebih kekal." Taha 20:131

Cubaan memujuk hati yang terluka. Jahit hati, tampal dengan plaster, bersihkan darah yang masih mengalir. :) Aku mahu kuat. Aku juga mahu bahagia, seperti kamu. Tak mengapa kamu tak mengerti aku. Tak mengapa kamu membenci aku. Tak mengapa kamu memusnahkan impian aku. Asalkan kamu bahagia. Moga kamu jauh dari kemurkaan Dia. Amin. :)

Kamu, kamu dan kamu. Bahagialah dengan jalan yang dipilih. Terima kasih kerana menyedarkan aku, jangan pernah bergantung pada manusia. ♥♥♥

Kamu, moga tak ada yang datang jumpa kamu macam ni satu hari nanti, ye. :)

p/s jadi cikgu molek-molek naa... selamat hari guru! :p

Friday, 11 May 2012

Cinta



Terbaik. Cerita yang penuh mesej yang bermakna. Realiti masyarakat Islam masa kini. Masalah terbesar yang melanda para pemuda harapan bangsa dan agama. Penyakit yang menular dalam  jiwa para syabab. Sakit yang menyesakkan dada.

Tak ramai dalam kalangan mereka mahu meninggalkannya. Kerna ia manis. Dijadikan terasa indah perhubungan itu. Tapi hakikat sebenarnya, pahit. Sebuah kenyataan bahawa, bukan ini yang sepatutnya dicari. Bukan ini yang diajarkan Rasulullah SAW.

Bukan senang mahu mengubah persepsi dan pandangan mereka yang dibuai mimpi indah dalam alam percintaan ini, tentang makna sebenar CINTA. Andai diceritakan sehingga berbuih mulut pun, belum tentu mereka dapat memahami. Mana mungkin mereka sanggup melepaskan perasaan yang indah itu. Mana mungkin mereka mahu melepaskan kebahagiaan yang dirasakan kekal buat selamanya. Bukan senang mahu melepaskan sesuatu yang dikendong, untuk mengejar satu ketidakpastian.

Bagi mereka yang pernah berada dalam suasana itu, sudah pasti terlebih faham tentang kepalsuan rasa bahagia itu. Sudah pasti tidak mahu kembali memutarkan rasa kasih dan sayang yang mengundang murka Sang Pencipta, setelah dikejutkan dari lena yang panjang. Sudah pasti tidak mahu lagi jatuh ke longkang jahiliah itu, setelah diberi nikmat kefahaman dalam agama.

Pabila ingin menegur atas dasar pengalaman yang ada, nasihat ibarat mencurah air ke daun keladi. Kata mereka, "Dah putus cinta, senang ler nak cakap macam tu. Jealous la tu." Sungguh, jauh sekali untuk berbicara soal cemburu, tapi ini soal dosa pahala. Hanya yang mencari mampu untuk memahami.

Hurm,pabila couple sudah jadi budaya anak Melayu, dikata haram pun dihalalkan jua kerana bahagia dengan rasa itu. Mungkin lupa murka Dia yang menanti barangkali.

Ketahuilah, hanya ada dua kemungkinan dalam hubungan cinta yang dibina itu. Sama ada kalian bahagia dalam keadaan penuh dosa dan murka Allah, atau kalian frust menonggeng tatkala gagal dalam percintaan. Adakah itu bahagia yang dicari?

Apa ertinya cinta pada manusia jika cinta pada Allah dan Rasulullah saw belum kita balas? Hanya cakap-cakap kosong yang meniti di bibir saban hari. Perlakuan langsung tidak memaknai kata-kata yang diucap.

Wahai diri, tunjukkan buktinya andai engkau benar-benar cinta pada Allah dan Rasul!

*************************

Alangkah indahnya jika sahabat yang saya sayangi itu, sehebat Aiman. Seorang lelaki yang mampu berubah secepat itu, yang mampu berubah hanya apabila didengarkan kisah Rasulullah. Seorang lelaki yang berusaha mencari erti cinta sebenar, bukan mengulangi kesalahan yang sama.

Benarlah, hidayah itu milik Allah. Dia akan memberi pada yang mencari, pada yang mahu.

Teruskan berusaha dan berdoa.

Rasa cinta itu nikmat, tetapi Dia sedang menguji ke mana disalurkan rasa itu. Haram atau halal. Pilihan tetap di tangan kita. Ujian yang mempersonakan sang hati lebih sukar untuk ditanggung berbanding ujian yang menyesakkan dada.


Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkan aku dalam naungan cintaMu. Jadikanlah kesudahan aku, kesudahan yang Engkau redhai. Selamatkanlah insan-insan yang aku sayangi dan cintai. Suburkan hati mereka dengan cintaMu yang Maha luas.




MAA, moga engkau bahagia dengan jalan yang dipilih.