Hati itu adalah raja. Maka anggota lain adalah tentera. Jika baik rajanya, maka baiklah tenteranya. Tetapi jika jahat rajanya, maka jahatlah tenteranya. Kenapa nak sibuk-sibuk berbicara tentang hati ni? Sekali lagi ditegaskan, hati itulah kunci segala-galanya. Hati itulah yang akan mengawal segala perbuatan kita. Jika hati itu dikuasai nafsu, nauzubillah masing-masing tahu akibatnya. Saban hari kita selalu dengar orang bercerita tentang hati. Hati yang sihat, hati yang sakit dan hati yang mati. Apakah cerita-cerita ini hanya sekadar di angin lalu? Atau kita benar-benar mengambil iktibar daripadanya? Ketahuilah, hati ini menyimpan pelbagai cerita. Kehendak, keinginan, ketakutan, ketaatan dan segala-galanya. Jika hati itu masih sensitif tatkala kita melakukan dosa, ucapkan Alhamdulillah, hati itu belum mati. Tetapi kalau kita sudah rasa ‘biasa’ dengan dosa-dosa yang dilakukan, naudzubillah..mohon lah hati yang baru. Kerana cahaya tidak akan menembusi hati yang mati. Orang yang hatinya mati, tak akan sesekali peduli dengan ayat-ayat Allah, tak akan sesekali peduli dengan teguran masyarakat sekeliling, hatta tak akan sesekali sedar bahawa hatinya mati. Kalau difikirkan semula, kita sendiri yang membuatkan hati kita mati. Siapa lagi yang bertanggungjawab ke atasnya kalau bukan pemiliknya. Mungkin juga bukan pemilik sebenarnya. Kerana hati itu juga pinjaman Allah. Untuk hamba-hambaNya menggunakan hati sebaik-baiknya, memahami ayat-ayat Allah. Apakah adil bagi seorang hamba untuk merosakkan barang pinjaman Tuannya?? Tepuk dada, Tanya iman. Pernah tak dalam sehari, ambil satu masa untuk check kondisi hati? Jika belum, mulakanlah sebelum terlambat. Esok belum tentu pasti bagi kita, usah berlengah lagi.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”
Bukhari dan Muslim
No comments:
Post a Comment