Wednesday, 22 February 2012

Kerana sebuah tarbiyah

Sungguh, untuk mengucapkannya dengan kata-kata..aku tak mampu.. untuk menulis dengan bait-bait kata yang indah..aku tak mampu.. untuk menterjemahkan rasa itu menjadi sebuah tingkah laku yang menyentuh..aku tak mampu..

Sungguh, cinta Dia indah sekali..  aku mengakuinya.. merasainya.. menginginkannya.. mengharapkannya kekal.. Kerana cinta itu, aku adalah aku yang sekarang.. aku bukan lagi hamba yang tak pernah peduli adanya Tuan yang memerhati..bukan lagi hamba yang tak pernah peduli apa tujuannya diciptakan.. bukan lagi hamba yang bisa berbuat sesuka hati.. bukan lagi hamba yang hanyut.. yang merasakan tiada cinta yang lebih indah dari cinta manusia.... 

Sungguh, cinta Dia indah sekali..  

Sungguh, aku malu! Malu pada Dia! Malu pada alam.. Malu pada manusia.. Malu pada seluruh isi dunia.. Saat aku bergelumang dengan jahiliah, Dia masih memberiku peluang.. Saat aku menjadi hamba yang lalai, Dia masih memberiku kesempatan.. Dia datang membawa harapan.. Dia datang membawa sebuah perdagangan yang menguntungkan.. Dialah, satu-satunya Tuan yang sangat sayangkan hamba-hambaNya..Satu-satunya Tuan yang mengajar aku erti sebuah kehidupan.. yang mengajar aku erti sebuah perjuangan..

Sungguh, cinta Dia indah sekali..  

Sungguh, aku jauh.. jauh ketinggalan.. jauh di belakang.. Sedang sahabat seperjuangan sudah jauh melangkah, aku masih bertatih di sini.. Aku masih menyusun langkah.. Aku masih mengira langkah.. Sungguh, aku ingin..aku mahu sekali.. bergerak melaju bersama mereka.. maju bersama derapan langkah dakwah.. berlari menuju redha Ilahi..

Ukhtiku sayang.. aku tahu kita punya impian yang sama.. kita punya matlamat yang sama.. Kita punya jalan yang sama.. Aku mohon ya ukhti.. Beri aku kekuatan.. Pimpinlah aku andai aku tersasar.. Tariklah aku andai aku rebah.. Agar kita sama-sama melangkah.. agar kita sama-sama berlari..  agar kita sama-sama mengejar cintaNya..




Hari ini.. Saat ini.. tika ini.. Dia datang dengan sesuatu yang membuatkan air mataku menitis.. sesuatu yang membuatku berfikir.. sesuatu yang menyedarkanku.. Saat iman mula jatuh, Dia hadir dengan nikmat sebuah ikatan.. Ikatan yang menjadi sumber kekuatanku.. Ikatan yang tak terbina dengan pertalian darah.. ikatan yang tak terbina atas kepentingan masing-masing.. Tapi ikatan ukhwah yang terbina kerana cinta Dia yang satu.. ikatan yang terbina keran sebuah tarbiyah.. ikatan yang terbina kerana sebuah dakwah.. 

Terima kasih ya Allah……..



Tuesday, 14 February 2012

Tiga Ayat

Tiga ayat ye bukan lagu tiga kata. :p Kenapa tiga ayat? Saja, nak cakap tentang surah yang selalu kita baca bila habis sesuatu majlis. Tapi, adakah kita sekadar baca je? hehe. Fikir-fikirkan.Bila mana menyebut tentang tegur-menegur, nasihat-menasihati, berpesan-pesan,sentiasa akan ada dua golongan. 

Golongan pertama, golongan yang dinasihati. Bila difikirkan, bila kita berada dalam golongan ni, banyak sangat prasangka yang ada dalam diri bila ditegur.
“Dia ni saja nak tunjuk baik, nak cakap dia alim.”
“Dia ni saja nak perli aku, mentang-mentang dia pandai.”
“Dia ni mesti nak apa-apa dari aku, tahu dah.”
“Dia ni baru belajar sikit,dah nak tegur orang lain.”
Kalau nak tulis semua prasangka kita tu, memang tak habis la. Tapi, bila difikirkan, kenapa semua ini yang terlintas di fikiran kita? Sebab kita ego, tak nak terima kesalahan dan kelemahan kita. Nampak salah pada orang lain saja.

"If someone corrects you, and you feel offended, then YOU have an EGO problem" - Nouman Ali Khan.
Kalau lah, bila ditegur, masih ada lagi prasangka-prasangka tu, cuba kita fikir tentang orang yang tegur kita. Berapa banyak tohmahan yang dia kena hadapi bila dia cuba untuk beri nasihat kalau semua orang bersikap dan berfikiran macam kita. Berapa banyak kesabaran yang dia perlukan untuk bagi peringatan yang bukan untuk kebaikan diri dia sahaja. Berapa banyak kekuatan yang dia perlukan untuk menyampaikan sepotong ayat. InsyaAllah, untuk benar-benar redha menerima setiap teguran pada kita, bukalah pintu hati. Bersangka baiklah dengan orang yang menegur.

Golongan kedua, adalah golongan yang menegur. Selalunya, ini lah part paling susah nak buat.
“Kalau aku tegur dia, nanti dia salah faham.”
“Aku bukan baik sangat, dia boleh terima ke kalau aku tegur.”
“Takutnya nak tegur, nanti salah cakap.”
“Dia mesti ingat aku nak malukan dia.”
"Dia ni degil, buat apa tegur dia."
Dan macam-macam lagi la. Kalau lah semua orang berfikiran macam ni, sampai bila-bila orang yang buat salah, tetap buat salah. Orang yang tak tahu dia buat salah, terus tak tahu. Kalau nak tunggu diri betul-betul sempurna untuk tegur orang, memang sampai bila-bila kita tak kan tegur orang. Sebab kita manusia, tak akan sempurna. Kalau takut cara yang kita guna salah, Tanya pendapat orang lain. Jangan tegur dengan cara yag kasar. Lagi susah dia nak terima. Jangan pandang rendah pada orang yang buat salah. Mungkin dia betul-betul tak tahu. Yang penting utuk tegur orang, doa pada Allah, beri ilham dan petunjuk supaya orang yang ditegur boleh terima nasihat kita. Nak tegur orang, kena banyak-banyak minta tolong Dia, tawakal pada Dia. Sebab bukan kita yang pegang hati kawan-kawan kita tu. Kalau dia terkesan dengan nasihat kita pun, tu BUKAN sebab kita yang tegur. Tapi, Allah yang lembutkan hati dia. InsyaAllah, bila kita nak tegur orang secara automatic kita akan tegur diri sendiri jugak. So, boleh perbaiki diri jugak. Jangan tahu nak tegur orang je. :) 

Jom, laksanakan amar makruf nahi mungkar.


*tangan yang menulis, lagi dekat dengan mata yang melihat. Aseef,kalau ada yang tersalah.*

Sunday, 12 February 2012

Tunanganku



Tatkala melihat cincin di jari, sahabat menegurku, “waah, pakai cincin..”. Aku sekadar tersenyum. Aku bilang, “Aah, dah bertunang pun..” Terkedu mereka seketika. Mungkin tak menyangka. Mungkin juga memikirkan kesahihan kata-kataku itu. Dengan yakin aku mengakuinya kerana mahu atau tidak,itulah tunanganku. Sejak lahir lagi,telah ditetapkan dialah tunanganku. Cuma aku sendiri tak pasti bila hari langsungnya. Kalau dulu, aku cukup takut untuk berbicara mengenai dia. Dia yang tidak aku kenali dengan sebenar-benarnya. Kerana aku masih belum bersedia. Kerana aku masih jahil. Kerana hatiku masih cintakan dunia dan segala isinya. Kini, aku yakin untuk mengatakannya. Aku yakin untuk membicarakannya. Aku bersedia untuk mengakuinya. Bahawa akulah, tunangan sebuah KEMATIAN.

“Ya Allah, tetapkan keimanan aku terhadap qada’ dan qadarmu. Tetapkan keyakinan aku terhadap adanya sebuah kematian. Agar aku tak lari dari matlamat aku diciptakan. Agar tidak kuabaikan tanggungjawab yang kupikul sebagai hambaMu. Agar tidak aku sia-siakan setiap peluang yang kau berikan padaku. Berikan aku petunjukmu dan jadikanlah aku orang yang mengikut.”  

Friday, 10 February 2012

YAKIN Dan PASTI

Bila sebut tentang agama, orang kata alim. Bila sebut tentang cinta Allah, mereka pandang remeh. Bila diceritakan kisah Rasulullah, mereka bilang hari ini bukan maulud nabi. Bila sebut tentang dakwah, mereka bilang ektrimis. Agama itu nampak kecil bagi mereka. Agama itu tak merangkumi seluruh aspek kehidupan mereka. Kalimah Allah itu dirasakan terlalu asing untuk dilaungkan. Bukankah kita diciptakan bukan untuk memperlekehkan semua itu? Adakah kita sedar bahawa penciptaan kita ini bersebab? Menjadi hamba yang taat pada Tuannya. Hamba yang mencari redha Tuannya. Yang hidupnya hanya untuk Tuan yg satu. Yang berkhidmat hanya untuk Dia. Yang masa-masanya dihabiskan demi mengejar rahmatNya.

Mana mungkin seorang hamba yg hanya duduk berpeluk tubuh, yang harinya penuh dengan cinta duniawi, yang menganggap cukup sempurna solat lima waktunya, bisa membeli harga sebuah syurga. Tak mungkin. Nilai sebuah syurga tak semudah itu untuk digapai. Dengan amal yang sedikit cuma, kau menganggap kunci syurga itu dalam genggamanmu. Buanglah angan-angan kosongmu itu. Selagi mana kau belum yakin dengan matlamat sebuah kehidupan, engkau akan terus sesat. Selagi mana kau terus asyik dalam keseronokan dunia, takkan kau temui cahaya itu. Selagi mana kau ragu-ragu untuk memulakan langkah, takkan kau temui jalan itu. Selagi mana kau takut untuk tinggalkan sesuatu yang kau cintai kerana Dia, berdirilah di situ. Sesungguhnya engkau akan jauh ketinggalan. Dan engkaulah orang yang rugi.

"Katakanlah (Muhammad), inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah,dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik." 12:108

Sesungguhnya semua ini bermula dengan sebuah keyakinan. Selagi mana kita yakin jalan yang kita ikuti itu benar, tak ada siapa yang bisa menggoyahkan pegangan itu. Andai kita yakin DUNIA adalah matlamat kita, kemewahan yang dijanjikan di akhirat hanya dipandang sebelah mata. Kerana apa? Kerana kita yakin dan pasti itulah jalan kejayaan, demi mendapatkan sebuah kemewahan dunia. Fikir-fikirkanlah, keyakinan yang dipupuk itu atas dasar apa? Atas dasar kehendak nafsu semata atau atas perintah Yang Maha Kuasa? Apakah keyakinan itu akan membawa kita kepada erti sebuah KEJAYAAN yang sebenar? Fikirkan.


Thursday, 9 February 2012

Dunia oh dunia

Malu rasanya memikirkan saat kehidupanku suatu ketika dahulu. Malu pada Dia yang menciptakan. Andai waktu bisa diundur, ingin sekali aku memadam memori jahiliah itu. Tapi hakikatnya aku adalah manusia. Yang penuh dengan dosa. Saban hari mencari-cari cintaNya yang hakiki. Mengharapkan keampunanNya. Mengejar redhaNya. Kerana hanya itu yang aku perlukan sebagai seorang hamba. Apa ertinya hidup ini kalau tak tahu ke mana tujuannya. Acap kali lupa bahwa Dia adalah matlamatku. Menjadi hamba yang hina buat Tuannya, yang seringkali menjadikan kehendak dan kemahuan dalam hidup sebagai matlamat, sehinggakan Dia pula menjadi alat untuk mencapai bunga-bunga kehidpan sebuah dunia. Apa yang kau cari sebenarnya wahai manusia? Kalaulah ada illah lain selain Allah di bumi, nescaya bumi ini akan hancur. Tapi, hatimu? Kau isi dengan karat-karat jahiliahmu. Kau sombong. Kau degil. Kau ego. Kerana kau, masih tidak percaya bahawa kesenangan di dunia ini hanyalah sementara. Andai kau sedar dan yakin bahawa berdirinya dikau di dunia ini bukanlah selama-lamanya, nescaya kau tak bersikap begini. Kau sebenarnya tahu, tapi kau menafikannya! Kau mahu, tapi sayang kau masih pada dunia. Pada keindahannya. Pada kemewahannya.Kau sanggup berkorban apa saja demi dunia, tapi kau tak sanggup untuk tunduk kepadaNya. Kerana kau tak percaya, bahawa janjiNya pasti. Percayalah! Yakinlah! bukankah kau tahu mati itu pasti? Di mana bekalanmu? Di mana amalmu? Wahai diri, sedarlah. Bangunlah! jangan hanya tahu bercakap. Realisasikan kesedaranmu.. Bukan berpeluk tubuh di situ. Menanti sebuah keajaiban datang.

Wednesday, 8 February 2012

PILIHAN


Hakikat kehidupan itu memang menyakitkan
Dia telah menentukan segala-galanya
Kini pilihan itu dalam genggaman
Sama ada untuk terus hidup dalam dunia jahiliyah
Atau kembali sujud kepadaNya.
Sungguh perjuangan ini tak mudah
Ia tak ditemani bunga-bunga kehidupan
Tapi ia penuh duri dan kesakitan
Namun ganjarannya di sana itu pasti
Tak perlu kau ragui lagi.
Wahai manusia
Andai dunia ini yang kau kejar
Kau akan leka dengan keindahannya
Kau akan hanyut dalam kemewahannya
Tapi andai akhirat yang kau pilih
Dunia juga kan jadi milikmu.
Sesungguhnya dunia adalah syurga bagi orang kafir
Tapi penjara bagi orag mukmin.
Pilihan itu milik kita.
Perubahan itu adalah pilihan kita.
Percayalah, janjiNya itu pasti!

IMAN

Kata orang, iman itu tak dapat diwarisi.Kalau pun bapanya seorang imam, belum tentu anaknya itu seorang yang beriman.Kalau pun ibunya seorang yang jahil dalam agama, belum tentu anaknya itu juga jahil. Kerana Allah Maha Adil. Jalan yang ditulis untuk semua hambaNya itu berbeda. Mana mungkin ada kuasa lain yang mampu melawan takdirNya. Selagi mana kau bisa bernafas di pagi hari, bersyukurlah. Tatkala kau merasakan Dia tidak mempedulikanmu, sedarlah. Bahawa tiada satu daun pun yang gugur tanpa pengetahuanNya. Setiap yang ditetapkan itu adalah terbaik buatmu. Jangan kau sesali apa yang ditakdirkan untukmu. Bersyukurlah wahai manusia. Kerana Dia masih memberimu peluang. Peluang untuk kembali. Peluang untuk menyesali kesalahanmu. Peluang untuk benar-benar berserah diri kepadaNya.

Sunday, 5 February 2012

Usaha Vs Natijah

Seringkali, tatkala kita mendapat hasil daripada sesuatu perkara yang kta lakukan, selalu sangat beranggapan bahawa itu semua adalah hasil usahaku. Tapi kenyataannya usaha tak beri apa2 kesan terhadap natijah. Sebab natijah itu dh lama ditetapkan, ditulis di luh Mahfuz sebelum kita lahir lagi. Tapi kita ja yg perasan sendiri. "aku dapat ni sebab aku usaha kuat." Tipu belaka. Padahal, semuanya dah lama ditentukan. Usaha itu bukan asbab kepada natijah yang kita dapat. Tapi kenapa kita tetap kena usaha? sebab itulah kerja kita. Allah dah tetapkan segalanya. Tapi kita tak tahu apa yang tertulis untuk kita. Taggungjawab kita adalah berusaha untuk mendapatkan yang terbaik. Manusia ni selalu sangat perasan. Bangga dengan apa yang dimiliki. Kelebihan yang ada pada diri. Tak sedar bahawa itu semua bukan milik manusia. tidak sama sekali. Sesungguhnya semua yang berlaku adalah atas kekuasaanNya, pertolongan dariNya. Mana mungkin kita bisa hidup sesempurna ini tanpa pengetahuan dan penjagaan Dia. Tiada Tuhan yang lebih hebat dari Dia. tapi manusia lupa. Bila senang, dunia seakan-akan milikku. Bila susah, Tuhanku adalah segala-galaNya. Hamba apakah ini? Yang bisa berbuat sesuka hati di atas bumi yang diciptakan Tuannya.Yang bisa melanggar perintah TuanNya sesuka hati, tanpa rasa gerun dan takut. Yang tidak percaya bahawa janji Tuannya itu pasti. Hamba yang tak layak dikasihi Tuannya. Sama sekali tidak layak.