Friday, 10 February 2012

YAKIN Dan PASTI

Bila sebut tentang agama, orang kata alim. Bila sebut tentang cinta Allah, mereka pandang remeh. Bila diceritakan kisah Rasulullah, mereka bilang hari ini bukan maulud nabi. Bila sebut tentang dakwah, mereka bilang ektrimis. Agama itu nampak kecil bagi mereka. Agama itu tak merangkumi seluruh aspek kehidupan mereka. Kalimah Allah itu dirasakan terlalu asing untuk dilaungkan. Bukankah kita diciptakan bukan untuk memperlekehkan semua itu? Adakah kita sedar bahawa penciptaan kita ini bersebab? Menjadi hamba yang taat pada Tuannya. Hamba yang mencari redha Tuannya. Yang hidupnya hanya untuk Tuan yg satu. Yang berkhidmat hanya untuk Dia. Yang masa-masanya dihabiskan demi mengejar rahmatNya.

Mana mungkin seorang hamba yg hanya duduk berpeluk tubuh, yang harinya penuh dengan cinta duniawi, yang menganggap cukup sempurna solat lima waktunya, bisa membeli harga sebuah syurga. Tak mungkin. Nilai sebuah syurga tak semudah itu untuk digapai. Dengan amal yang sedikit cuma, kau menganggap kunci syurga itu dalam genggamanmu. Buanglah angan-angan kosongmu itu. Selagi mana kau belum yakin dengan matlamat sebuah kehidupan, engkau akan terus sesat. Selagi mana kau terus asyik dalam keseronokan dunia, takkan kau temui cahaya itu. Selagi mana kau ragu-ragu untuk memulakan langkah, takkan kau temui jalan itu. Selagi mana kau takut untuk tinggalkan sesuatu yang kau cintai kerana Dia, berdirilah di situ. Sesungguhnya engkau akan jauh ketinggalan. Dan engkaulah orang yang rugi.

"Katakanlah (Muhammad), inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kamu kepada Allah dengan yakin, Maha Suci Allah,dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik." 12:108

Sesungguhnya semua ini bermula dengan sebuah keyakinan. Selagi mana kita yakin jalan yang kita ikuti itu benar, tak ada siapa yang bisa menggoyahkan pegangan itu. Andai kita yakin DUNIA adalah matlamat kita, kemewahan yang dijanjikan di akhirat hanya dipandang sebelah mata. Kerana apa? Kerana kita yakin dan pasti itulah jalan kejayaan, demi mendapatkan sebuah kemewahan dunia. Fikir-fikirkanlah, keyakinan yang dipupuk itu atas dasar apa? Atas dasar kehendak nafsu semata atau atas perintah Yang Maha Kuasa? Apakah keyakinan itu akan membawa kita kepada erti sebuah KEJAYAAN yang sebenar? Fikirkan.


No comments:

Post a Comment