Thursday, 9 February 2012

Dunia oh dunia

Malu rasanya memikirkan saat kehidupanku suatu ketika dahulu. Malu pada Dia yang menciptakan. Andai waktu bisa diundur, ingin sekali aku memadam memori jahiliah itu. Tapi hakikatnya aku adalah manusia. Yang penuh dengan dosa. Saban hari mencari-cari cintaNya yang hakiki. Mengharapkan keampunanNya. Mengejar redhaNya. Kerana hanya itu yang aku perlukan sebagai seorang hamba. Apa ertinya hidup ini kalau tak tahu ke mana tujuannya. Acap kali lupa bahwa Dia adalah matlamatku. Menjadi hamba yang hina buat Tuannya, yang seringkali menjadikan kehendak dan kemahuan dalam hidup sebagai matlamat, sehinggakan Dia pula menjadi alat untuk mencapai bunga-bunga kehidpan sebuah dunia. Apa yang kau cari sebenarnya wahai manusia? Kalaulah ada illah lain selain Allah di bumi, nescaya bumi ini akan hancur. Tapi, hatimu? Kau isi dengan karat-karat jahiliahmu. Kau sombong. Kau degil. Kau ego. Kerana kau, masih tidak percaya bahawa kesenangan di dunia ini hanyalah sementara. Andai kau sedar dan yakin bahawa berdirinya dikau di dunia ini bukanlah selama-lamanya, nescaya kau tak bersikap begini. Kau sebenarnya tahu, tapi kau menafikannya! Kau mahu, tapi sayang kau masih pada dunia. Pada keindahannya. Pada kemewahannya.Kau sanggup berkorban apa saja demi dunia, tapi kau tak sanggup untuk tunduk kepadaNya. Kerana kau tak percaya, bahawa janjiNya pasti. Percayalah! Yakinlah! bukankah kau tahu mati itu pasti? Di mana bekalanmu? Di mana amalmu? Wahai diri, sedarlah. Bangunlah! jangan hanya tahu bercakap. Realisasikan kesedaranmu.. Bukan berpeluk tubuh di situ. Menanti sebuah keajaiban datang.

No comments:

Post a Comment