Kalau tak membaca, melihat dan mendengar tentang Islam..saya percaya ilmu yang ada dalam diri setiap dari kita hanyalah apa yang dipelajari masa sekolah dulu..ilmu yang sekadar ilmu.. diperam untuk dihafal dan ditulis atas kertas peperiksaan. Yang pada akhirnya, hilang begitu saja, tak memberi apa-apa makna pada diri setiap insan. Sampaikan kita tak sedar, bahawa buku teks pun menipu.. tak percaya? Belajarlah, anda akan tahu jawapannya.
Kata Al Maududi, Muslim itu bukanlah nama suatu kelompok bangsa manusia. Bukan juga kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Tapi seseorang dikatakan Muslim apabila ia menerima Islam sebagai agamanya. Bila mana wujud kesedaran dan kesengajaan untuk menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah dan bertindak sesuai dengan ajarannya.
Duduk, dan berfikir sejenak. Berapa banyak sunnah dan ajaran Rasulullah yang telah kita ikut? Berapa banyak kisah Rasulullah yang pernah kita baca? Sikit sangat kan? Nak ingat dia pun susah, apa lagi nak buat apa yang dia ajarkan. Astaghfirullah.
Satu perkara yang perlu kita tahu. Islam itu diperoleh bukan kerana faktor keturunan. Tetapi hanya ada dua perkara yang membezakan seorang Muslim dan seorang kafir. Iaitu pengetahuan dan perbuatannya.
"Seandainya ada seseorang yang menyatakan dirinya seorang Muslim, tetapi ia sama bodoh tentang Islam dengan seorang kafir,dan sama pula pembangkangnya kepada Allah, dapatkah kita mengatakan dengan pertimbangan yang adil, bahawa kedudukannya lebih tinggi daripada seorang kafir, semata-mata kerana ia memiliki nama yang berbeza, memakai pakaian yang berbeza dan memakan makanan yang berbeza dengan orang kafir tersebut? Dan apa pula alasannya untuk mengatakan bahawa ia berhak memperoleh rahmat Allah di dunia dan di akhirat?"
Sudah tentu tidak bukan? Sedarlah, bahaya terbesar bagi seorang Muslim ialah ketidaktahuannya sendiri atas ajaran Islam, ajaran Al Quran dan ajaran Rasulullah. Tepuk dada, tanya iman. Adakah kita benar-benar tahu ketiga-tiga ajaran tersebut? Kalau tidak, maka tidak layaklah bagi kita mengaku Muslim.
Bagi kita, seseorang itu dikira Muslim apabila dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Tahukah kita, kenapa Allah letakkan itu pada rukun Islam yang pertama? Tak mungkin hanya sekadar mainan di bibir sahaja. Sedar atau tak, ucapan itu bukan sekadar ucapan. Lafaz itu bukan sekadar lafaz. Setiap yang melafazkan kalimah shahadah itu, memikul satu tanggungjawab yang besar. Tanggungjawab yang berat. Tanggungjawab yg akan dipersoal di akhirat. Kalau tidak, masakan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW yang maksum tu nak bersusah payah menyebarkan Islam. Bertarung nyawa menegakkan Islam. Bukankah tempatnya sudah pasti di syurga? Pernahkah kita kaji sebabnya? Pernahkah kita hayati khutbah nabi yang terakhir??
Sahabat, setiap insan yang melafazkan kalimah tersebut bertanggungjawab melaksanakan hak Shahadatul Haq di hadapan seluruh alam. Tanggungjawab ini tak tertunai dengan hanya melaksanakan sembahyang, puasa, zakat dan haji sahaja. Tidak cukup sekadar melaksanakan undang-undang syarak seperti urusan perkahwinan, cerai dan pusaka.
Tanggungjawabnya ialah menjelaskan kepada seluruh manusia tentang kebenaran yang nyata dan bimbing mereka untuk melalui satu-satunya jalan yang menghubungkan mereka ke arah kebahagiaan dunia dan akhirat. Rasulullah telah melaksanakan tanggungjawabnya. Oleh sebab itu, Islam sampai kepada kita. Perjuangan intu disambung para sahabat dan tabi’ tabiin.
Kini, tanggungjawab itu diwarisi kepada kita. KITA. Bukan orang lain. Tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran yang dibawa Islam. Bukan senang untuk menyampaikan kebenaran Islam bila mana kita sendiri jahil tentang Islam. Bila mana kita sendiri tak ikut ajaran Islam. Bila mana kita engkar perintah Allah. Bila mana kita sendiri ISLAM HANYA PADA NAMA.
Allah tak kan hukum orang yang tak tahu. Tapi Allah akan hukum orang yang tahu, tapi cuai dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Orang yg tahu, tapi buat-buat tak tahu. Cuba fikir, berapa banyak orang yang telah kita jumpa? Dan berapa banya kita cakap tentang Islam? Sikit sangat kan? Padahal inilah tanggungjawab kita.
Ketahuilah, mereka yang tak diberitahu tentang kebenaran ini akan menjadi SAKSI kepada kita. Mereka akan tuntut dari kita. Kita akan dipersalahkan di akhirat nanti andai kata kita cuai dalam melaksanakan tanggungjawab kita. Andai kata kitalah yang memutuskan rantai perjuangan Rasulullah. Andai kata Islam tak sampai pada generasi akan datang atas sebab kesalahan kita.
Mahukah mereka semua itu bersaksi bahawa kita gagal melaksanakan tanggungjawab shahadatul haq? Mahukah kita dihukum atas kecuaian itu? Mahu sangatkah merasai azab api neraka??
Ini bukanlah sekadar kata-kata. Tapi inilah kenyataan yang menuntut tindakan. Bukan hanya sekadar tahu, dan berdiam diri. Bukan sekadar tahu, dan mengendahkannya. Bukan sekadar berpeluk tubuh dan lalai dengan kehidupan dunia yang mempersonakan. Kerana pasti kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya dua pilihan. SYURGA atau NERAKA.
Hak shahadah tak tertunai dengan hanya menyampaikan kebenaran tentang Islam. Bukan sahaja melalui amalan soleh dan akhlak terpuji. Tetapi, shahadah ini akan lengkap apabila terbentuknya sebuah negara yang tertegak berlandaskan prinsip yang abadi. Bila mana semua manusia mengakui kebenaran yang dibawa oleh Islam. (baca: SEMUA MANUSIA). Pada saat ini, barulah ikatan tanggungjawab itu terlerai.
Pokoknya, tugas kita adalah untuk menyampaikan dan membimbing manusia. Seperti mana yang telah dilakukan para nabi dan rasul. Kalau ilmu tentang Islam hanyalah sebesar biji guli, macam mana nak tunaikan tanggungjawab ni kan? Sebab itulah perlunya belajar. Perlunya tarbiyyah. perlunya usrah. Nak harapkan silibus dekat sekolah, sampai bila-bila kita tak tahu kenyataan ni. SAMPAI BILA-BILA.
Tanya pada diri. Mengapakah aku diciptakan?
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia. kerana kamu menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Dia antara mereka ada yang beriman, namu kebanyakan mereka adalah orang yang fasik." 3:110
Jika ditakdirkan saya mati dalam keadaan tidak beriman kepada Allah swt, saya akan tuntut semua umat Islam di hadapan Allah. Saya bagitau kpd Allah: "Ya Allah, Engkau berikan Islam kepada mereka. Engkau berikan iman kepada mereka. Engkau menggelarkan mereka umat terbaik (khairun ummah) tetapi tiada seorang pun daripada khairun ummah ni yang bagitau kepada saya LA ILA HA ILLALLAH"
Inilah yang dipanggil DAKWAH. Sunnah terbesar Rasulullah SAW.
No comments:
Post a Comment