Thursday, 29 March 2012

Jiwa Penghuni Raudhah

Jiwa-jiwa di sana.
Hati-hati di tanah barakah itu.
Sakit dengan tekanan demi tekanan
Terseksa dengan serangan demi serangan.
Kematian datang menjemput tak kenal masa.
Sedang tubuh terpenjara di tanah sendiri.

Biar kemiskinan datang menghimpit.
Biar peluru datang menyesakkan dada. 
Ketakutan tak pernah datang bermukim di qalbu.
Kerisauan tak pernah hadir menjengah lubuk nurani.
Bahtera kehidupan tetap terus diperjuangkan.
Kerana mereka yakin adanya Dia yang menjaga.
Adanya Dia yang memelihara.

Kita dan mereka.
Jiwa kita dan mereka.
hati kita dan mereka.
Iman kita dan mereka.
Cukup jauh berbeza.
Bagai langit dan bumi.
Bagai enggang dengan pipit.
Bagai kaca dan permata.
Bagai mimpi dan realiti.

Ya, mereka benar-benar hebat.
Pandangan yang cukup berbeza tentang dunia.
Bahagia dunia bukan pada carta pertama sebuah kehidupan.
Cukuplah syahid fisabilillah menjadi impian yang satu.
Pegangan yang tetap kuat berpaksikan Dia yang Esa.

Benar, mereka miskin dunia.
Tetapi mereka kaya akhirat.
Kita sebenarnya yang tenggelam.
Hanyut dalam gelombang kekayaan dunia.
Hakikat kita yang miskin akhirat cuma dipandang sebelah mata.
Sedang benteng iman kita ini dibina sambil lewa.

Jiwa-jiwa di sana.
Hati-hati di tanah barakah itu.
Anda sungguh bertuah wahai anak-anak Palestina.
Kuntuman bunga di Raudhah sedang menanti kalian.



Satu cerita dari tanah itu yang cukup menyentuh hati. Seorang ibu gembira apabila anak lelaki pertamanya syahid. Namun apabila anak lelaki keduanya syahid, dia bersedih. Bukan sedih kerana tiada lagi anak yang menemani hari tua, tapi sedih kerana dia hanya punya dua anak. Tiada lagi anak dari darah dagingnya yang dapat syahid di tanah barakah itu. Tapi kita? Fikirkan mati pun sudah takut, apatah lagi untuk mengimpikan syahid fisabilillah. 

Pernah juga terfikir, mungkin saja kesenangan yang kita punya sekarang adalah kerana doa-doa mereka. Doa-doa buat saudara seIslam. Mereka peduli tentang kita meski hidup mereka tak sebahagia kita. Tapi kita, sepatah doa pun tidak hadiahkan buat mereka. Yang kita pinta: "Allah, beri aku kejayaan dalam hidupku, beri aku jodoh yang soleh dan solehah, beri aku kebahagiaan". Kaca mata kita sekarang adalah dunia. Kaca mata yang dikaburi kebahagiaan dan kesenangan dunia.

"Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui." 29:64

Saturday, 24 March 2012

-

engkau dan aku.
usah dibanding cobaan siapa lebih berat.
usah ditanya sakit siapa lebih derita.
usah dihitung siapa lebih ego.
usah dilihat salah siapa.
aku dan engkau.
tak kan pernah sama.




Kuat.

Kamu, berbahagialah.

Friday, 23 March 2012

Putik yang tersembunyi.

Hanyut.
Realiti muda mudi masa kini.

Hanyut dengan apa?
sudah tentu keindahan dan keseronokan dunia.
Mungkin saja yang jelas pada pandangan kita,
cuma pemuda yang rosak akhlaknya,
pemuda yang terjebak dengan gejala sosial.

Tapi kita lupa.
ada pemuda yang baik akhlaknya.
cantik peribadinya.
indah tutur katanya.
Tapi mereka juga sedang hanyut.

Kerana apa?
Kerana mata mereka dikaburi cinta dunia.
Hati mereka dipenuhi penyakit wahan.
Dek kerana ingin mengejar wang dan harta,
mereka lupa Tuhan.
mereka lupa tanggungjawab insan.
mereka lupa matlamat hidup sebenar.
(tabik spring pada siapa yang mengejar kemewahan dunia, tapi tak pernah lupa dan tinggal tiga-tiga elemen ni. Anda memang hebat! Alhamdulillah. Syukur pada Dia. Keep it up. ^_^)

Benar, bukan semua dari mereka begitu.
Cuma perlu diingat, ada yang tergelincir.
Mereka yang hanyut tanpa kita sedari.
Semakin tenat jika tiada yang mahu ambil peduli.
Malah lebih sukar untuk dipulihkan dari pemuda yang rosak akhlaknya.
kerana kita dan mereka, sama-sama tak sedar.
bahawa merekalah pemuda yang sedang tersasar.

Kenapa perlu selamatkan mereka?
kerana merekalah ar rijal,
pemuda harapan agama dan bangsa.

"Kalau nak lihat sebuah negara 20 tahun akan datang, lihatlah para pemudanya."

Ada apa pada pemuda?
mereka muda, ibarat putik bunga.
putik yang ada harapan untuk berkembang.
muda yang kita nanti-nantikan kematangannya.
muda yang kita nanti-nantikan kebangkitannya.

Pemuda yang tegas dan berani.
Pemuda yang sentiasa bergerak aktif.
Pemuda yang ada kemahuan dan cabaran.
Pemuda yang punya harapan, cita-cita dan peluang.
Pemuda yang punya banyak pilihan.
dan sudah tentu, pemuda yang punya jati diri yang asli.

Jangan hanya memandang pada pemuda yang rosak akhlaknya,
kerana di sebalik pandangan itu,
ada yang cantik di luar, tapi rosak di dalam.
yang mereput dan membusuk dalam diam.

Terlindung.
Tersembunyi.


"Sampai bila rumah akan siap, kalau seorang membina, seorang lagi meroboh. Lebih mudah untuk memperbetulkannya andai kita tahu siapa yang meroboh. Tapi andai kata kita tak nampak siapa yang sedang meroboh, sudah tentu proses pembinaan itu akan jadi tersangat panjang."


(Kredit)

Kalau dah namanya make up, yang buruk pun nampak cantik kan.


Cubaan untuk bersangka baik. Allah, permudahkanlah. :) 


Allah, semoga rezeki itu milik mereka. Jangan Engkau lalaikan mereka sehingga mereka melupakanMu. Jangan Engkau biarkan mereka terus hanyut. Bimbinglah mereka. Jadikanlah jalan yang mereka pilih itu, jalan yang Engkau redhai. Jalan yang mengembalikan diri mereka kepadaMu. Jalan yang mendekatkan diri mereka denganMu. Beri mereka kefahaman. Kurniakan mereka sesuatu yang memberi kehidupan. Sesuatu yang menjadikan mereka pemuda Islam yang dinantikan.


Allah, aku faham niat mereka. Keinginan yang benar-benar suci dan murni untuk memperbaiki kehidupan masing-masing. Allah, beri mereka pencerahan. Permudahkan urusan mereka. Tambahkan kurniaanMu kepada mereka, supaya mereka berjaya dunia dan akhirat. Buka pintu hati mereka untuk memperbaiki kehidupan akhirat juga ya Allah.


Allah, bersihkan hati ini dari sebarang rasa prasangka. Sucikanlah. Kuatkanlah. 

Tuesday, 20 March 2012

Dia dan dia

Buat dia.

Maaf. Mungkin saja semua yang telah diri ini perbuat untukmu, bukan sebenarnya sebab Dia. Mulut kata ya, tapi hatiku menafikannya. Ia masih dipenuhi karat jahiliah. Aku masih mengharap balasan dunia. Mengharap rasa manusia. Lillah, kerana tarbiyah ini aku mengenal banyak perkara. Aku belajar mengenali diri sendiri. Tapi aku juga manusia, aku sering kali kalah dan jatuh rebah.

Maaf. Mungkin saja kata-kataku tak memberi sebarang kesan dek kerana kekotoran hati ini. Aku akui. Kekadang tingkah laku ini disertai nafsu yang membuak-buak. Diiringi kerisauan atas sesuatu yang tak sepatutnya. Ditemani harapan atas ketidakpastian. Dihujani cemburu buta. Ditaburi bunga cinta dunia.

Maaf. Aku tak mampu. Tak mampu untuk menahan. Tak mampu untuk memandang. Tak mampu untuk berkata. Aku bukanlah pemberi peringatan terbaik buatmu. Moga Dia menghantar seseorang yang lebih baik.  Hanya titipan doa yang tinggal. Semoga kekal bersahabat. Sampai syurga.

Lafaz tersimpan. Biar di sini selamanya. Selagi belum disulami cinta Ilahi. 


Buat Dia.

Maaf. Aku kalah lagi. Bimbing aku. Beri aku ruang dan peluang. 
Hanya Engkau. Cuma Engkau. Tiada yang lain.
Biar sakit ini, sedih ini, derita ini jadi penghapus dosa-dosa lalu.

Saturday, 17 March 2012

Remuk

Kosong.
Entah apa yang dicari.
Kadang-kadang engkau pasti.
Engkau benar-benar yakin.
Inilah jalanmu.
Inilah pilihanmu.

Tapi mengapa wahai hati.
Dirimu tak bisa menterjemah apa yang kau ucap.
Dirimu tak bisa melakarkan apa yang kau impi.
Bahkan dirimu benar-benar sakit.
Engkau benar-benar kosong.

Sungguh.
Penyucian diri itu kurniaan Dia.

Saat ini.
Aku benar-benar merasakannya.
Aku benar-benar pasti.
Kurniaan itu belum ada untukmu.

Cinta.
Mungkin ia ibu segala perasaan.
Aku sendiri tak tahu apa tafsirannya.
Aku sendiri tak pasti apa maknanya.
Kerana aku belum benar-benar merasakan.
Aku belum benar-benar yakin.
Apa itu erti cinta yang sebenar.

Cinta untuk Dia.
Bukan senang.
Bukan mudah.
Untuk engkau mengakuinya.
Untuk engkau membuktikannya.
Sedang hatimu penuh cinta makhluk dan dunia.

Kotor.
Busuk.
Rosak.
Itu kondisi hatimu.

Mana mungkin cinta Dia bisa memenuhi.
Mustahil.
Tidak sama sekali.

 

Tangisan ini.
Air mata ini.
Pengubat hati yang lara.
Hanya Dia bisa membaca.
Cuma Dia.
Tiada yang lain.

"Katakanlah (Muhammad). Jika kam mencintai Allah, maka ikutilah aku.Nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 3:31

Wednesday, 14 March 2012

Panjang. Jauh.

Dunia dan akhirat.
Dua perkara yang berbeza bukan?
Mana mungkin jalannya sama.
Mana mungkin jaraknya juga sama.

Destinasi yang berbeza.
Pasti modalnya juga berbeza bukan?

Sedih.
Melihatkan dia,dia dan dia.
Sibuk dan larut dengan kehidupan dunia.
Taksub dengan kemewahan dunia.
Hanyut dengan keindahan dunia.

Patah hati.
Ingin sekali ku jeritkan pada dia, dia dan dia.
“Ini bukan tempat kita!”
“Ini bukan matlamat kita!”
“Kembalilah!”

Hanya mampu menahan sendiri.
Kerana bukan itu caranya.
Buta dia,dia dan dia itu bersebab.
Pekak dia,dia dan dia itu bersebab.

Kerana mereka masih belum mengerti.
Kerana merekalah mangsa keadaan.
Mangsa yang tidak tahu mereka sakit.
Mangsa yang tidak sedar mereka tenat.
Kerana dunia telah mengaburi mata dan hati mereka.

Inilah tugasmu.
Sedarkan mereka!
Bimbing mereka!

Perjalanan baru bermula.
Panjang.
Jauh.



Ya Allah, Engkau yang memegang hati mereka. Engkau memberi petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Aku mohon beri insan ini kebaikan. Sesuatu yang memberi kehidupan.

Sunday, 11 March 2012

Mutiara Kata buat Ibu


Ibu,
Aku tahu pada keteguhan senyuman itu,
Adanya derita yang kau tanggung sendiri.
Aku tahu pada ketulusan wajahmu itu,
Ada rasa yang kau pendam sendiri.
Aku tahu pada manisnya bait-bait katamu,
Ada sesuatu yag buat kau sengsara.
Aku tahu pada sulaman impian yang dibina,
Hatimu sakit tanpa bahagia yang diharap.

Ibu,
Maafkan anakmu kerna tak bisa berbuat apa.
Maafkan aku yang hanya mampu memandang.
Maafkan aku andai bukan ini yang kau pinta dariku.

Ibu,
Aku ingin kau tahu,
Walau sepahit mana erti kehidupanmu di sini,
Pasti Dia punya rencana yang lebih baik buatmu.
Aku harap kau tetap kuat meredah gelora hidup.
Kerana akulah anakmu
Yang sentiasa mendoakanmu
Segalanya yang terbaik buatmu.
Semoga engkau terus tabah dengan ujian ini.

12Feb12





Saturday, 10 March 2012

Putus Asa?


Putus asa?
Niat di hati cuma ingin menegur.
Ataupun ingin berkongsi ilmu yang sedikit cuma.
Tapi ada yang menolak.
Bukan satu. Tapi ramai.
Bukan sekali. Tapi selalu.

Putus asa?
Usah begitu.
Nabi tak pernah ajar umatnya berputus asa.
Ini baru permulaan.
Perjalanan masih panjang.
Allah cuma nak usik sikit.

Andai kata-kata tak dapat mengubah hati mereka, berdoalah.
Dia Maha Mendengar. 
Mungkin saja doa itu lebih berkesan.
Kerana Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

"Diriwayatkan oleh Iman Muslim daru Ummud Darda' r.a bahawasanya, Rasulullah saw bersabda maksudnya: Doa seseorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalag doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'amiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan'." (Shahih Muslim no 2733)

Usah difikirkan apa hasilnya.
Berserahlah.
Kerana semuanya urusan Dia.
Bertawakallah.
Sehebat tawakal ibu Nabi Musa.
Dia pasti menunjukkan jalan.

“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang smbong di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan (yang membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya apabila mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yag dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” 7:146


Teruskan langkahanmu.

‎"kelemahan masyarakat kini. Kita tak cuba selamatkan orang yang bersalah. Menyebabkan para pemuda menjauhi agama."

Wednesday, 7 March 2012

Cerminan Diriku

"Jangan memaksa dirinya dan hatinya, nanti lagi dia jauh. Allah yang pegang hati dia. Mintalah dari Allah." - quoted

Benar.
tapi saban kali diri ini lupa.
Hakikat  bahawa Dialah yang mengetahui segala-galaNya.
Dialah yang memiliki segala-galaNya.
Siapa kita untuk memaksa orang berubah sekelip mata.
Siapa kita untuk memaksa orang fahami apa yang sedang dilakukan.
Siapa kita untuk anggap seseorang itu menolak kebaikan andai tiada seruan kita yang disambut.
Realitinya, kita tak tahu apa yang mereka hadapi. Jangan menuduh sebarangan.
Rahsia di hati, cuma Dia yang tahu bukan?

Kita juga hamba. Yang diberi nikmat kefahaman ad-Deen, lebih sedikit dari yang lain.
Patutnya bersyukur. Bukan memandang rendah mereka yang masih belum mengerti.
Bukan memandang enteng kemampuan mereka untuk memahami agama.
Bukan memaksa diri dan hati mereka. Bukan mendera jiwa mereka.
Tapi inilah manusia. Diri ini sering kali lupa. Bahawa suatu ketika dulu, aku juga seperti mereka.

Itu lah cerminan diriku. Cerminan aku yag dulu.

Aku yang hanyut dengan dunia. Aku yang lena dibuai angan-angan dunia.
Dulu darjatku juga di situ. Hanya dengan rahmat Dia, aku peroleh kefahaman.
Wahai diri. Tak pantas bagimu untuk memandang mereka sebegitu rupa.
Kerana itulah cerminan engkau yang dulu. Beri mereka masa. Beri mereka ruang dan peluang.

Hati.
Hanya Dia yang tahu.
Mungkin hati mereka lebih bersih darimu.
Mungkin hati mereka lebih jernih darimu.
Malulah pada Dia.

Dan Dialah, yang memegang hati setiap manusia.
Mintalah pada Dia.


Sunday, 4 March 2012

Refleksi

Nak memberi. Tak kena cara.

Kau dikatakan sama macam dulu.

BERSANGKA BURUK.

salahkah aku?

mungkin ya, mungkin tidak.

Memang itu pandangan manusia.

tapi bersebab.

Mungkin Allah hantar dia untuk tegur.

Cubaan pertama.

Wahai diri, tegurlah secara berhikmah.

Terima kasih 'dia'.

(Kredit)


MAA, akan aku buktikan ini bukan sangkaan buruk, tapi sebuah keikhlasan untuk mengingatkan, berpesan-pesan. Cuma satu perubahan kepada sesuatu yang lebih baik. Maaf, atas khilaf yang mengotori segala niat baikku.

Saturday, 3 March 2012

Printer

“Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka.“ 3:191

“Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu main-main (tanpa ada maksud) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” 23:115

Sungguh, tidak Allah jadikan sesuatu itu sia-sia.

Allah jadikan pertemuan, supaya adanya perpisahan.
Allah jadikan kesusahan, supaya adanya kesenangan.
Allah jadikan kekalahan, supaya adanya kemenangan.

Allah beri kesedihan, untuk kita merasa nikmatnya kegembiraan.
Allah beri kita ujian, supaya kita ingat dan kembali padaNya.
Allah limpahi kita dengan kesenangan, supaya ada hambaNya yang bersyukur.

Allah cipta dunia, untuk hambaNya mengumpul bekalan.
Allah cipta orang yang mencari dunia, untuk beritahu kesenangan itu sementara.
Allah cipta orang yang mencari akhirat, untuk beritahu dunia itu hanya persinggahan.
Allah cipta keindahan dan kemewahan dunia, untuk beritahu akhirat itu lebih indah dan mewah andai hambaNya beriman.

"Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan membatasi (bagi siapa yang Dia kehendaki). Mereka bergembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang sedikit dibanding dengan kehidupan akhirat." 13:26
Allah cipta kemanisan cinta antara manusia, untuk beritahu cinta Dia lebih hebat dan indah andai hambaNya berfikir.

"Maka ingatlah padaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu" 2:152
Allah cipta siang untuk hambaNya bekerja dan mencari dunia,
Allah mencipta malam supaya hambaNya beristirehat dan beribadah kepadaNya.
Allah cipta orang yang berbuat yang makruf, untuk beritahu balasan pahala menantinya.
Allah cipta orang yang berbuat yang mungkar, untuk beritahu balasan dosa menantinya.

Allah cipta orang menyeru, supaya ada orang yang mengikut.
Allah cipta syurga buat hambaNya yang patuh.
Allah cipta neraka buat hambaNya yang ingkar.

Allah beri kehidupan untuk beritahu adanya kematian.

Manusia hanyalah pengembara di dunia, yang sedang berehat dan mengumpul bekalan untuk dibawa ke kampung akhirat.

“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu” 51:56

Kalaulah kita cipta printer untuk dia cetak segala assignment yang bertimbun, tapi printer tu menolak dan kata:

 "Isy,tak nak aku cetak benda-benda ni. Penat. Cari orang lain. Aku nak dengar lagu. Jangan kacau aku." 

Agak-agaknya, apa reaksi kita ek? Geram tak??

Itu baru benda yang manusia cipta. Yang kita marah sangat bila tak berfungsi ikut apa yang sepatutnya. Rasa nak campak je, beli baru.

Apatah lagi kita yang Allah cipta sebaik-baiknya. Tak terkira nikmat yang Dia bagi. Itu pun tak bersyukur. Kalaulah sampai saat ini, kita selalu tak buat apa yang Allah suruh mengikut tujuan kita diciptakan, rasa-rasanya apa perasaan Allah ye?? Jawab dalam hati.

"Kalau lah Allah macam manusia, campak je barang ciptaan yang tak berguna tu..errr.. kat mana eh kita sekarang??"


Allah is EXTREMELY forgiving, but not ALWAYS forgiving.


KEMBALILAH.

Friday, 2 March 2012

Masa Tetap Berjalan

Masa tetap berjalan. Detik demi detik. Hari demi hari.
Setiap saat membawa peluang. Setiap nafas memberi ruang.
Peluang dan ruang dari Dia. Untuk hamba-hambaNya tunduk dan kembali padaNya.
Peluang untuk benar-benar menghargai segala nikmat seadanya. Seadilnya. Selayaknya.
Ruang untuk merasakan nafas dalam jiwa hamba.

Dulu, kita pernah berada dalam situasi yang dihujani dosa.
Keadaan yang membawa kita ke lembah neraka.
Saat  nafsu dan syaitan bermaharajalela.
Hakikat itu, kita nampak. Kita sedar. Kita akui.

Tapi,
Kenapa hati ini masih degil untuk mengakuinya?
Kenapa hati ini masih keras untuk menerimanya?
Kenapa masih membutakan mata bahawa syurga neraka itu pasti?
Kenapa JALAN ITU lagi yang kita pilih?
Bukankah itu jalan menuju JAHANNAM?

Bagi yang benar-benar merasakan maksiat itu akan menambah saham kita di neraka, tak kan mereka sentuh lagi jalan itu. Tak kan mereka lalui lagi jalan itu. Tak kan mereka pandang lagi jalan itu.
CUKUPLAH SEKALI.

Peringatan demi peringatan diberi.

Andai pada saat ini, kita masih membutakan mata dan hati untuk mengakuinya, maka kitalah hamba yang tak tahu berterima kasih. Kitalah hamba yang perasan tuan. Hamba yang tak sedar ada Tuan yang memerhati. Madu diberi, sepah dibuang.

Andai pada masa ini kita masih degil untuk meninggalkan jalan itu, kitalah yang menempah neraka. Bukan tak ada yang menegur. Tapi kita yang menolak. Jangan sampai bila mana Dia menghilangkan sesuatu yang bermakna bagi kita, baru nak terhegeh-hegeh memohon ampun. Boleh jadi pada saat itu, TIADA LAGI PELUANG KEDUA.

Dan masa masih tetap berjalan.